Kim Jong-un kongsi kuasa dengan adik

Pengaruh Yo-jong (kanan) semakin meningkat di Korea Utara sejak beberapa tahun lalu. - Foto Agensi
Pengaruh Yo-jong (kanan) semakin meningkat di Korea Utara sejak beberapa tahun lalu. - Foto Agensi
A
A
A

SEOUL - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan bakal ‘berkongsi kuasa’ dengan adiknya, Kim Yo-jong yang akan mengawasi urusan am termasuk bertanggungjawab dalam hubungan dengan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Perkhidmatan Risikan Kebangsaan (NIS) di Seoul mendedahkan keputusan untuk memindahkan lebih banyak kuasa kepada wanita berusia 32 tahun itu jelas menunjukkan beliau sebagai pemimpin de facto kedua di Pyongyang.

Bagaimanapun, Jong-un masih memegang kuasa mutlak untuk menentukan sebarang keputusan.

“Keputusan itu tidak menunjukkan Jong-un menggunakan sistem kepimpinan kolektif sama seperti Parti Komunis di China. Perkongsian kuasa itu mengikut gaya kepimpinan Korea Utara pada masa ini,” kata anggota jawatankuasa risikan itu, Ha Tae-keung.

Beberapa pegawai atasan lain turut diberikan kuasa lebih meluas yang diharapkan dapat mengurangkan tekanan kepada Jong-un yang telah memerintah negara itu selama hampir sembilan tahun dan melindungi dirinya daripada dipersalahkan sepenuhnya jika kerajaan berdepan tuduhan ketidakcekapan.

Kelmarin, media tempatan melaporkan Jong-un memberitahu pemimpin parti pemerintah, Parti Pekerja bahawa Pyongyang sedang berdepan cabaran yang tidak dapat dijangka dan tidak dapat dielakkan dalam pelbagai aspek yang menyebabkan matlamat pembangunannya terpaksa ditangguhkan.

Pelbagai isu seperti sekatan antarabangsa, banjir dan pandemik koronavirus (Covid-19) telah memberi impak besar kepada ekonomi di Korea Utara yang dijangka menjadi penguncupan terburuk dalam tempoh lebih dua dekad. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!