Sekadar menghitung hari

A
A
A

Sepanjang tahun lepas banyak peristiwa yang tersembunyi dan nyata yang telah kita lalui. Pun begitu, setiap peristiwa memberi kesan yang berbeza kepada kita.

Adakalanya, peristiwa tersebut membangkitkan semangat kita untuk terus hidup dengan lebih hebat, namun ada ketikanya peristiwa tersebut meremukkan hati kita sehingga sukar untuk bangkit semula. Hakikatnya, ALLAH SWT masih panjangkan umur kita. Kenapa? Sudah tentu ada hikmahnya bagi mereka yang mengetahui.

Sesungguhnya, ALLAH SWT telah mengatur kehidupan kita dengan penuh hikmah. Siapa sangka setelah beratus tahun, jemaah haji di seluruh dunia dihalang untuk mengerjakan ibadat haji oleh kerajaan Arab Saudi kesan daripada wabak Covid-19.

Malah, ada juga yang tidak menyangka kerana penyakit itulah, beliau bertemu jodoh dengan doktor yang merawatnya. Ada juga yang tidak menyangka rangkaian perniagaan mereka yang begitu kukuh boleh runtuh.

Namun, ada juga peniaga yang berjaya meluaskan perniagaan kerana berani mencipta inovasi yang relevan dalam keadaan semasa. Apa yang jelas, kesemua itu adalah ujian untuk menguji sejauh mana kita bersabar, reda dan bersyukur kepada ALLAH SWT.

Sebetulnya, pertambahan tahun yang diberikan kepada kita bukannya sekadar untuk menghitung hari semata-mata. Jika kita sekadar menghitung hari, bermakna kita hanya menunggu bila kedatangan bulan-bulan Islam yang berkat. Sebagaimana biasa, membudayakan adat lebih diperbesarkan berbanding melaksanakan amal yang berkat berpandukan al-Quran.

Hakikatnya, masih ramai yang bersungguh-sungguh untuk menganjurkan kacau bubur assyura pada bulan ini, merancang persiapan sambutan Maulidur Rasul selepas ini dan ada yang sudah berkira-kira untuk memilih tema baju raya pada tahun ini. Kesemua itu tidak salah untuk dirancang, namun perkara yang perlu diutamakan adalah mendapat keredaan ALLAH SWT.

Berkaitan dengan usaha mencari keredaan ALLAH SWT, saya begitu tertarik dengan kupasan Ibnu Qayyim al-Jauziah dalam kitabnya, Miftah Daris Sa’adah (Kunci Kebahagian di Dunia dan Akhirat): “Hakikatnya hikmah Nabi Adam diperintah oleh ALLAH SWT ke dunia, adalah tidak terjangkau oleh akal. Segala keletihan, dukacita, kesedihan serta semua penyakit duniawi yang diterima oleh Nabi Adam dan keturunannya adalah untuk membesarkan lagi nilai syurga.”

Artikel Berkaitan:

“Sesungguhnya ALLAH SWT mencintai orang yang sabar, orang yang berbuat baik, orang yang bertaubat, orang yang membersihkan diri serta pandai bersyukur. Justeru, di bumi inilah mereka menjalani sifat-sifat baik berserta dengan ujian yang tidak pernah putus-putus demi meraih kemuliaan tertinggi di syurga nanti.

Ternyata, ALLAH SWT adalah bersifat pengampun di mana telah banyak manusia yang menjadi korban iblis telah diampunkan oleh-Nya dan ALLAH SWT sangat menyukai manusia yang sentiasa berusaha untuk mendapat keredaan-Nya.”Ingatlah, untuk peroleh keredaan-Nya, ALLAH SWT berfirman: “Al-Quran adalah pedoman manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.” (Surah Al-Jasiyah, 45:20).

Ini bermakna, setiap pertambahan tahun oleh ALLAH SWT adalah bonus kepada kita agar berterusan berusaha untuk mendapat keredaan-Nya.

Jika selama ini, kita masih diberi bonus walaupun menjauhi al-Quran, jika selama ini kita masih diberi peluang untuk hidup walaupun menyisihkan solat, sedekah dan memutuskan silaturahim, sedarlah kesemuanya itu akan berterusan sehingga kita dikurniakan taufik setelah bersungguh-sungguh mencari keredaan-Nya.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!