Nenek disahkan meninggal dunia 'dua kali'
MOSCOW - Seorang nenek di Rusia disahkan meninggal dunia sebanyak dua kali dalam tempoh kurang seminggu gara-gara pihak hospital tersilap mengesahkan kematiannya.
Kematian Zinaida Kononova, 81, pada mulanya diumumkan pada 14 Ogos lalu selepas dia menjalani pembedahan untuk membuang tumor di Gorshechenskaya Central Regional Hospital di selatan Moscow.
Wanita itu kemudiannya dibawa ke bilik mayat pada jam 1.01 pagi (waktu tempatan) dan kembali sedar tidak lama kemudian.
Kononova ditemui terjatuh dari katil menempatkan mayat oleh jururawat pada jam 8 pagi sebelum dikejarkan ke unit rawatan intensif di hospital lain di bandar Kursk dan disahkan meninggal dunia beberapa hari selepas itu.
Susulan insiden itu, penyiasat negeri memaklumkan mereka sudah melancarkan siasatan untuk mengesahkan sama ada tekanan ketika di bilik mayat telah menyumbang kepada kematiannya yang sebenar.
Ketika ini, ketua hospital terbabit telah digantung tugas kerana didakwa terlibat kecuaian.
Ahli keluarga pesara itu juga merancang untuk memfailkan saman ke atas hospital terbabit.
Sementara itu, akhbar Kursk Izvestia melaporkan hospital wilayah sering berdepan masalah mesin untuk mengukur aktiviti otak menyebabkan doktor hanya melihat faktor luaran untuk menentukan pesakit sudah meninggal dunia atau tidak. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!