APM Kuala Selangor kumpul wang beli, pasang Jalur Gemilang

Anggota APM Daerah Kuala Selangor memasang Jalur Gemilang di pagar pejabat agensi keselamatan itu kelmarin.
Anggota APM Daerah Kuala Selangor memasang Jalur Gemilang di pagar pejabat agensi keselamatan itu kelmarin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor membuat kutipan wang secara sukarela untuk membeli Jalur Gemilang sebelum dipasang di pekarangan pejabat agensi keselamatan itu sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-63.

Pegawai APM Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, usaha itu dilakukan bagi menanam rasa cinta kepada tanah air yang bebas daripada cengkaman penjajah.

Menurutnya, sebanyak 50 helai Jalur Gemilang dibeli itu kemudian dijahit dan dicantumkan secara gotong-royong oleh anggota keselamatan itu yang mengambil masa selama tiga hari.

“Jalur Gemilang yang siap dijahit dan dicantum sepanjang 50 meter ini kemudian dikibarkan di pagar pejabat yang terletak berhampiran lampu isyarat menghala ke pusat pelancongan Bukit Malawati,” katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.

Shaiful Azril berkata, inisiatif menggantung Jalur Gemilang itu dicetuskan seorang anggotanya memandangkan premis itu terletak di tepi jalan yang sering dilihat orang awam.

“Kita ingin menunjukkan kepada orang awam betapa kami amat menghargai nikmat keamanan dan kemakmuran dikecapi ketika ini hasil perjuangan mereka yang terdahulu,” katanya.

Katanya, aktiviti gotong-royong itu juga melambangkan semangat kerjasama dan berpasukan yang tinggi bagi menghargai nikmat sebuah kemerdekaan.

“Usaha ini juga diharap dapat menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun kemerdekaan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!