Seorang maut, tiga parah nahas di Tampin
TAMPIN - Seorang anggota tentera maut manakala tiga yang lain cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Ulu Rokan-Dangi, kira-kira 20 kilometer dari Kuala Pilah, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, dalam kejadian pada jam 5.40 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Shaelone Kuek, 29, manakala tiga sekeluarga Muhaidin Musa, 63, dan isteri Saliza Azilin Abdullah, 45 serta anak Muhammad Hazim, 13, cedera parah.
Dalam satu kenyataan di sini malam ini, beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati Perodua Bezza yang dipandu Shaelone yang datang dari arah Tampin menuju ke Kuala Pilah secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Nissan Almera yang dipandu Muhaidin.
“Akibat daripada pertembungan itu, Shaelone yang bertugas di Kem Syed Sirajuddin, Gemas meninggal dunia ditempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.
Pemandu dan dua penumpang Nissan Almera yang cedera parah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Penolong Penguasa Bomba, Norfaizal Ahmad berkata pihaknya mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan mangsa sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.50 petang.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!