Pas Sarawak sokong pendirian tegas kerajaan terhadap atlet Israel

Jofri Jaraiee
Jofri Jaraiee
A
A
A

MIRI - Pas Sarawak hari ini menyatakan sokongan penuh tindakan kerajaan persekutuan tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching pada pertengahan tahun ini.

Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, tindakan Malaysia tidak akan memberi impak negatif kerana negara ini tiada hubungan diplomatik dengan Israel selain menunjukkan pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin.

"Negara-negara lain boleh menyertai kejohanan itu, tiada masalah, Pas Sarawak menyokong sepenuhnya pendirian Malaysia untuk menghalang atlet Israel masuk ke Malaysia terutamanya ke Sarawak walaupun atas tujuan sukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jofri berkata, Sarawak adalah negeri contoh dalam mengamalkan semangat perpaduan serta menolak diskriminasi dan justifikasi sukan adalah alasan tidak lojik memandangkan Israel mengamalkan dasar diskriminasi terhadap penduduk Palestin.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan sebagai membantah penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!