Kononnya nak mandi...
ALOR GAJAH - Seorang suspek kes dadah yang melarikan diri dari Hospital Alor Gajah berjaya ditahan semula, kira-kira jam 10.20 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki berusia 41 tahun dan beralamat di Masjid Tanah itu ditangkap di tepi jalan besar Jalan Lendu, Kampung Kelemak ketika sedang menyorok di bawah sebuah kereta.
Menurutnya, suspek tahanan itu melarikan diri ketika sedang menerima rawatan di Hospital Alor Gajah kerana sakit sawan.
Katanya, kira-kira jam 4.50 petang semalam, tahanan itu ke bilik air untuk mandi namun mengambil kesempatan melarikan diri melalui tingkap bilik air sebelum disedari anggota polis bertugas.
"Anggota polis bersama pengawal keselamatan cuba mengejar tahanan itu yang melarikan diri ke arah belakang hospital dan memasuki kawasan hutan.
"Selepas menerima laporan, gerakan mengesan individu itu dilakukan melibatkan 50 orang termasuk pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), penduduk kampung dan Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek ditahan di rumahnya pada Rabu lalu atas kesalahan memiliki dadah iaitu Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dan keesokannya suspek mengadu sakit sawan, kemudian dibawa ke hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.
"Polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu terutama menyalurkan maklumat sehingga kes dapat diselesaikan dalam tempoh singkat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!