Pas belum muktamad jumlah kerusi di PRN Sabah
KOTA BHARU - Pas masih belum memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, masih ada masa untuk menentukan soal jumlah kerusi yang berpotensi untuk diletakkan calon daripada parti itu.
“Kita akan cuba bincang dengan rakan-rakan kerjasama. Di Sabah ni BN bukan saja ada UMNO dan MCA tetapi terdapat beberapa parti komponen lain termasuk PBS, PBRS yang membantu.
“(Jumlah berapa kerusi) sedang dibincangkan (peringkat Muafakat Nasional). Cuma belum muktamad. Kadang-kadang esok hari penamaan calon, malam ni pun tidak muktamad lagi,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Pelancaran Skim Bantuan Pelajar Parlimen Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam yang melibatkan 300 penerima, di sini, hari ini.
Sebelum ini juga, Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling memaklumkan parti itu sedang mengenal pasti beberapa kerusi yang berpotensi untuk ditandingi.
Sabah akan mengadakan pilihan raya selepas Mahkamah Tinggi negeri itu menolak permohonan 33 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September depan untuk pilihan raya negeri manakala hari pencalonan pula pada 12 September ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!