Penggiat seni di Kelantan disaran daftar dengan persatuan
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menasihatkan penggiat kesenian di negeri ini agar mendaftar dengan persatuan atau kelab yang sesuai supaya bakat yang dimiliki mereka dapat diwarisi pelapis muda.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, langkah itu juga sangat penting untuk kerajaan memberikan bantuan terutamanya dalam mempromosikan kesenian yang sedia ada.
"Secara umumnya kita beri sokongan kepada badan-badan kesenian ini supaya mereka terus kekal sebab dengan ini boleh menarik generasi muda meminati bidang-bidang tertentu.
"Ramai penggiat seni di kampung dan sebagainya tapi mereka tidak berdaftar secara aktif sebab kadangkala ada kerumitannya. Kami faham, cuma nasihat kerajaan, lebih baik daftar supaya senang kami hendak bantu.
"Kesedaran untuk berpersatuan ini agak kurang, sebab itu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan mengadakan program perintis untuk beberapa kesenian terpilih," katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Amar hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali-28 Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Menurutnya, sehingga kini, seni silat dan dikir barat masih mendapat tempat di hati generasi muda dan mendapat sambutan yang cukup baik.
Katanya, diharap aktiviti kesenian ini boleh dijadikan minat atau hobi generasi muda bagi memastikan ia tetap terus relevan dan tidak ditelan zaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!