Ismail Sabri puas hati pematuhan SOP di PRK DUN Slim
TANJUNG MALIM - [DIKEMASKINI] Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang masuk hari kelapan, hari ini.
Menurutnya, dalam program dan lokasi yang dihadiri didapati orang ramai mengamalkan pemakaian pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal baik di dalam dewan mahupun tempat terbuka.
"Setakat tempat yang saya pergi semuanya patuh kepada SOP, saya pergi rumah ke rumah pun anak-anak kecil pakai mask (pelitup muka) mungkin sebab tengok Pak Long datang, jadi mereka semua patuh.
"Tetapi saya percaya rakyat semakin sedar bahawa bahaya itu berada di sekitar sepertimana boleh berlaku di Kedah," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Cakna Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama warga veteran ATM Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Orang Ramai Felda Besout 2, di sini hari ini.
Beliau turut memuji pengamal media yang bertugas kerana berjaya mengamalkan pematuhan SOP dengan baik.
"Saya tengok di Slim ini dari segi SOP dipatuhi dengan baik sekali termasuklah media walau suatu ketika dahulu ada yang mengatakan tidak patuh," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa semua kes pelanggaran SOP pencegahan koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan termasuk melibatkan menteri atau timbalan menteri akan disiasat.
Katanya, sepertimana telah ditekankan sebelum ini, tiada mana-mana pihak yang boleh mengatasi undang-undang sekiranya didapati melakukan kesalahan itu.
"Menteri ke timbalan menteri ke, jika mereka melakukan kesalahan, langgar SOP pasti akan dikenakan tindakan.
"Hukuman itu terpulang kepada Kementerian Kesihatan sama ada nak kompaun dan sebagainya terserah kepada mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!