'Rela kena tunjuk setia, sokong kerajaan'
TANJUNG MALIM - Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) disaran menunjukkan kesetiaan dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan untuk meneruskan pentadbiran negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kerajaan tidak lupa jasa dan sumbangan anggota keselamatan itu dengan memberi pengiktirafan terhadap peranan mereka antaranya kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam dalam Belanjawan 2020 yang bermula 1 Januari lalu.
Menurutnya, Rela pada ketika ini mempunyai kekuatan anggota seramai 3.1 juta di seluruh negara dan di Perak sahaja merekodkan 282,180 anggota.
"Jumlah anggota Rela di daerah Muallim pula adalah seramai 19,420 anggota yang mana 7,226 berdaftar di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
"Jadi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, kita nak tunjuk kepada calon bahawa seramai 7,226 anggota ini wajib keluar mengundi calon nombor dua kita (Barisan Nasional)," katanya ketika berucap pada majlis Kementerian Dalam Negeri bersama anggota Rela daerah Muallim di Dewan Semai Bakti Felda Besout 2, di sini hari ini.
Hadir sama, Pemangku Ketua Pengarah Rela, Kamarudin Rapig.
Ismail berkata, anggota Rela sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi membantu penugasan keselamatan pasukan polis sepanjang kempen PRK DUN Slim ini.
"Dari segi kekuatan, kita tidak ada masalah dan sentiasa bersedia membantu semasa kempen, undi awal hinggalah hari pengundian nanti untuk pastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi orang ramai," katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta semua anggota Rela meningkatkan integriti seiring dengan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan agar dapat menjadi cermin besar kepada masyarakat dan komuniti setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!