Pendatang haram guna laluan tikus ditahan
TAWAU - Cubaan seorang lelaki tempatan menjadi tali barut, dengan membawa keluar enam pendatang haram warga Indonesia melalui jalan tikus di sini hari ini gagal, apabila kesemuanya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM).
Kesemua mereka yang menaiki kereta jenis Proton Waja itu ditahan di Jalan Batu Payung, pada 1.20 pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau DSP Mohd Nazari Ismail berkata, ketika ditahan lelaki tempatan berumur 28 tahun yang memandu kereta Proton Waja, menyeludup empat wanita serta dua lelaki Indonesia berumur antara empat hingga 57 tahun.
Menurutnya, kesemua suspek kemudian dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007(Pindaan 2010).
Jalan Batu Payung, dipercayai menjadi pusat persinggahan untuk pendaratan pendatang haram dari negara jiran, sebelum bergerak ke daerah lain.
Julai lalu, penduduk Kampung Batu Payung menggagalkan cubaan menyusup masuk 20 warga Indonesia ke Sabah di jalan kampung itu, sebelum diserahkan kepada polis.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 12.30 tengah malam tadi, Mohd Nazari berkata pihaknya menyerbu lokasi persembunyian sekumpulan pendatang haram warga Indonesia, di ladang sawit Kampung Tinagat di sini.
“Namun, ketika serbuan itu kumpulan pendatang haram itu bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa dan seorang lelaki berumur 45 tahun ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah,” katanya lagi.
Pada 15 Ogos lalu, PPM menahan 12 pendatang haram warga Indonesia yang menyusup masuk ke Tawau dan bersembunyi di ladang sawit Kampung Tinagat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!