Banjir lumpur: Beberapa kemudahan di PGA Ulu Kinta rosak
IPOH - Hujan lebat selama dua jam menjadi punca utama kejadian banjir lumpur di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dan kawasan berhampiran semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kinta, Halizah Sipun berkata, hujan lebat bermula pada 4 petang itu mencapai kadar 95 hingga 100 milimeter (mm) sejam berbanding kebiasaan antara 50 hingga 60 mm sejam.
“Semakan dilakukan bersama pihak berkaitan mendapati faktor lain menyebabkan bencana itu adalah disebabkan air yang berkumpul berpunca daripada beberapa alur sungai di sekitar Hutan Lipur Ulu Kinta.
"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati longkang atau aliran air yang berada di sekitar kawasan berkenaan tidak terganggu dan masih berada dalam keadaan baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan bersepadu di beberapa lokasi banjir lumpur hari ini.
Menurutnya, banjir lumpur itu turut mengakibatkan enam gelanggang sepak takraw dan badminton di PGA rosak dan penilaian secara menyeluruh berkenaan kerosakan yang berlaku dalam kejadian itu sedang dilakukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!