Dakwah Islam di media sosial masih lemah: Zulkifli
SHAH ALAM - Penyebaran dakwah Islam menerusi platform media sosial pada hari ini dilihat masih lemah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, malah peranan atau tugas penyebaran dakwah itu seolah-olah diletakkan hanya kepada golongan berpengaruh dalam media sosial.
Menurutnya, jika lebih ramai pendakwah dapat turut serta menyebarkan dakwah di platform media sosial, sudah tentu pelbagai isu-isu semasa akidah dan media Islam dapat ditangani dengan mudah.
"Satu tindakan pantas perlu digerakkan supaya kita tidak bersikap syok sendiri dan berasa selesa kerana sekarang adalah zaman bekerja, bertindak dan merancang untuk menyusun strategi," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Muafakat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Tangani Nasib Ummah di Dewan Karangkraf di sini hari ini.
Turut hadir pada program Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Nasir Hamzah, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid serta Pengasas dan Presiden Yayasan Sanaabil Al Khair, Yaakob Wan Harun.
Beliau berkata, pelbagai saluran media sosial yang ada pada masa kini boleh dimanfaatkan bagi menyampaikan suara perpaduan dan kesatuan ummah.
"Selain turun ke lapangan dan bersidang, saya cadangkan untuk bentuk strategi bersepadu untuk menghadapi dunia media sosial.
"Facebook mungkin sudah terlalu biasa tapi bagaimana pula dengan Twitter dan Instagram," katanya.
Mengulas mengenai program, Zulkifli berkata, inisiatif Muafakat NGO Islam Tangani Nasib Ummah berkumpul dan menubuhkan Sekretariat Insof Dunia (SID) bagi menangani isu ummah wajar diberi pengiktirafan.
"Ia juga memerlukan sokongan semua pihak khususnya kerajaan supaya dapat memainkan peranan dengan lebih baik.
"Kita tak mahu lihat lambakan gerakan dakwah pasif yang hanya gah pada nama tetapi mahu melihat satu gerakan yang ada strategi dan usaha serta menggunakan pendekatan dakwah yang segar, bersifat semasa dan menyeluruh," katanya.
Sementara itu, Mohd Azmi berkata, secara umumnya program hari ini mempertemukan NGO-NGO Malaysia serta beberapa wakil antaranya dari India dan China untuk mengutarakan gagasan gabungan NGO-NGO peringkat dunia.
"Malaysia merupakan tapak paling subur untuk kita mengadakan pelbagai aktiviti yang sihat kerana kita lihat persekitaran dunia hari ini penuh konflik.
"Jadi kita ambil inisiatif, Malaysia akan cuba memimpin, menarik NGO-NGO dunia untuk bersama dalam menangani isu-isu antarabangsa sementara kita juga bergabung dengan NGO-NGO Malaysia untuk melihat isu-isu umat Islam dalam negara," katanya.
Beliau berharap agar pihak kerajaan dan tokoh-tokoh di negara ini dapat bekerjasama bagi melontarkan idea-idea melibatkan antaranya ekonomi, media, industri halal dunia.
"Saya kira Malaysia ada wibawa serta integriti yang boleh kita tawarkan kepada dunia penyelesaian Islam yang hendak kita bawa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!