Bermanja dengan kambing biri-biri di Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS - Terkenal dengan suhu sejuknya, Cameron Highlands cukup sinonim sebagai destinasi pelancongan popular di negara ini.
Namun, percutian ke kawasan tanah tinggi ini bukan sekadar melihat pemandangan indah di ladang teh atau memetik sendiri buah strawberi.
Malah, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman bermanja dengan kambing biri-biri di The Sheep Sanctuary di Kea Farm, Brinchang.
Menurut pemiliknya, Goh Bing Tzuan, 32, tempat ini menempatkan 14 ekor kambing biri-biri baka merino yang diimport dari Australia.
Katanya, pengunjung boleh memasukinya secara percuma untuk melihat lebih dekat lagi haiwan gebu dan berbulu tebal ini.
"Buat masa ini tiada bayaran kemasukan dikenakan. Cuma pengunjung boleh membeli makanan berharga RM3 untuk diberikan kepada kambing biri-biri.
"Selain itu, mereka juga boleh bergambar dan bermesra dengan kambing-kambing ini," katanya kepada Sinar Harian.
Mengusahakan tempat itu sejak dua tahun lalu dengan 12 ekor kambing biri-biri, Bing Tzuan berkata, dia mendapat inspirasi daripada ladang kambing biri-biri di Taiwan.
"Saya mahu pengunjung merasai pengalaman agro pelancongan di mana mereka dapat mengenali kambing biri-biri jenis merino.
"Bagi yang inginkan kelainan di Cameron Highlands, bolehlah mencuba pengalaman baharu di The Sheep Sanctuary," katanya.
Dia juga bercadang untuk mencantikkan kawasan itu dengan menambah padang rumput agar pengunjung boleh melihat kambing biri-biri itu dilepaskan bebas.
"Saya turut merancang membuat cenderahati daripada bulu kambing biri-biri untuk dijual kepada pengunjung pada masa akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!