Alexei Navalny berada dalam keadaan stabil

Anggota perubatan membawa pengusung yang digunakan untuk mengangkut Navalny di Hospital Charite di Berlin. - Foto: AFP
Anggota perubatan membawa pengusung yang digunakan untuk mengangkut Navalny di Hospital Charite di Berlin. - Foto: AFP
A
A
A

BERLIN - Pemimpin pembangkang Rusia, Alexei Navalny yang disyaki diracun berada dalam keadaan stabil di hospital selepas akhirnya diterbangkan ke Jerman hari ini.

Sebuah ambulans udara membawa Navalny, 44, disewa oleh pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Jerman, Cinema for Peace itu tiba di Lapangan Terbang Tegel di Berlin pada jam 8.47 pagi (waktu tempatan).

Hospital Charite dalam satu kenyataan mengesahkan mereka telah menerima Navalny dan sedang melakukan diagnosis perubatan yang meluas ke atasnya.

Pengkritik lantang Presiden Vladimir Putin itu dilaporkan berada dalam keadaan koma selepas jatuh sakit secara tiba-tiba kelmarin ketika menaiki pesawat dari Tomsk di Siberia ke Moscow hingga ia terpaksa mendarat cemas di Omsk.

Pembantu Navalny percaya air teh yang diminum beliau ketika di lapangan terbang telah dicampurkan racun dengan sengaja dan mendakwa ia didalangi Putin.

Doktor Rusia bagaimanapun menyatakan ujian dijalankan ke atasnya menunjukkan tiada sebarang racun ditemui pada tubuhnya.

“Keputusan ujian menunjukkan beliau mengalami gangguan metabolik yang mengakibatkan penurunan mendadak kadar gula dalam darahnya,” ujar laporan tersebut.

Konflik tercetus apabila doktor yang merawatnya di Omsk pada mulanya enggan membenarkan Navalny yang berada dalam keadaan koma dan terpaksa bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan dipindahkan ke Jerman seperti diminta keluarga dan kakitangan beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Wilayah memaklumkan polis telah mengesan bahan kimia industri pada Navalny dan bagasinya walaupun doktor mendakwa ia bukan sebagai penyebab beliau berada dalam keadaan koma.

Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) termasuk Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut menyuarakan kebimbangan terhadap Navalny. - AFP

Info

* Navalny didakwa mempunyai ramai musuh berikutan siasatan antirasuah yang dijalankannya yang sering membongkar kehidupan mewah golongan elit Rusia.

* Pada 2017, aktivis antirasuah terbabit dikatakan mengalami kesan melecur akibat bahan kimia pada matanya selepas pewarna hijau disimbah pada wajahnya.

* Pada 2019, Navalny disyaki diracun berikutan beliau mengalami kesan ruam pada wajahnya yang kemudiannya membengkak ketika Navalny menjalani hukuman penjara untuk tempoh singkat kerana menganjurkan protes haram.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua pembangkang Rusia didakwa diracun

Doktor tidak temui bukti ketua pembangkang Rusia diracun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!