Sastera rabbani sastera insani

No Image Caption
A
A
A

‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ menjadi tema majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M pada tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya berkata, tema itu bertepatan dengan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang bangsa, bahasa dan agama dengan mengambil contoh pada zaman Nabi Muhamad SAW.

Menurut beliau, kewujudan masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Ummah Rabbani teras kekuatannya adalah modal insan yang berkualiti dan tunjang dalam kebanyakan pelan pembangunan kerajaan.

Konsep negara harmoni dalam kepelbagaian itu amat berkait rapat dengan maqasid syariah dan perkara itu turut dinyatakan oleh Imam AI-Ghazali sebagai maslahah yang mengambil manfaat dan menolak keburukan.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 19 Ogos lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H.

Selain itu, Syeikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmad Tayyib pula diumumkan Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1442H.

Tema Maal Hijrah pada tahun ini mengingatkan saya kepada soalan-soalan yang sering dilontarkan khalayak kepada pemain-pemain kesusasteraan tanah air. Ke manakah hala tuju dan apakah matlamat sastera negara? Pemilihan tema itu secara tidak langsung telah menjawab persoalan tersebut untuk dikupas secara lebih rinci dalam penulisan saya kali ini.

Dalam membincangkan proses pembinaan pelbagai disiplin ilmu pengetahuan, Ibnu Khaldun sarjana ulung Islam pada kurun ke-14 berpandangan bahawa apabila seseorang itu menulis, itulah kemuncak pembuktian daya intelektualnya yang telah melalui proses taakulan, bermula daripada peringkat ilham dan pemikiran kepada catatan atau tulisan. Apabila tulisan dapat dihasilkan, hal ini bermakna terangkatlah ‘hijab’ atau segala keraguan dalam pemikiran dan yang lahir adalah kejelasan idea.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, sama ada melalui puisi atau pelbagai bentuk wahana yang lain, keperluan seseorang individu atau penulis menulis sebagai pembuktian proses terakhir taakulannya merupakan sesuatu yang perlu dilakukan.

Tentang hal ini, idea selalunya bersifat ‘suci’ kerana setiap idea merupakan ilham daripada Tuhan. Penulis seharusnya sedar apakah tujuan sebenarnya untuk menulis. Sekadar intuisi kepuasan sendiri atau ingin menyampaikan mesej kepada pembaca melalui gaya bahasa yang digunakan dalam kepengarangan.

Dalam proses kepengarangan, idea sering kali dipengaruhi faktor sosialisasi masyarakat. Pengaruh sosial walaupun terkadang dianggap sebagai suara hati penulis, namun tanpa disedari pemilihan gaya bahasa juga merupakan interaksi sosial yang berlaku dalam diri. Gaya bahasa yang menjadi inti kepada sesuatu karya menerima takrifan tertentu hasilan interaksi dialogik, multikonteks sosiobudaya, idealisme dan pelbagai faktor lain yang boleh menjadi ‘kekuatan’ atau ‘kelemahan’ kepada penulis sekiranya gagal menterjemahkannya ke dalam konsep ‘rabbani’.

Seseorang penulis yang bersifat ‘rabbani’ seharusnya menyedari fitrah insan yang dikurniakan Pencipta memiliki akal dan mempunyai autoriti untuk membuat pilihan.

Wilayah kekuasaan dalam naskhah penulisan dimiliki sepenuhnya oleh penulis dan situasi itu memberikan ruang sepenuhnya kepada penulis untuk memilih, sama ada gaya bahasa atau diksi yang dipilih mampu memberikan manfaat kepada diri dan masyarakat atau sebaliknya.

Penulis perlu mempunyai kekentalan diri dan bersiap siaga agar dirinya tidak mudah dijajah dan dipengaruhi secara total oleh mana-mana suprastruktur yang tidak mendatangkan manfaat. Kesedaran dan peranan kelompok penulis sebagai golongan inteligensia menjadi amat penting demi membina masyarakat yang mempunyai jati diri dan bermaruah.

Semangat kolektif golongan penulis dalam mewujudkan Kesusasteraan Rabbani bukanlah sesuatu perkara baharu malah pernah diperkatakan oleh Keris Mas (1992) yang mengatakan bahawa Bangsa Melayu mestilah dibangunkan jiwanya dengan membawa mereka berfikir sebagai seorang manusia.

Manusia yang bebas memandang, menimbang dan memutuskan sesuatu yang sesuai untuknya, mempunyai kesanggupan memperbaiki dirinya dari masa ke masa.

Peranan penulis sebagai golongan inteligensia bukan sekadar untuk melahirkan suara protes atau kritik sosial dan pandangan dominan tetapi juga memastikan terhasilnya pembentukan nilai-nilai kemanusiaan universal tanpa dibayangi batasan ras perkauman dan agama.

Melalui kepengarangan, penulis mempunyai tanggungjawab sosial untuk membangun dan menyuburkan masyarakatnya. Dalam wacana ini, selain mempunyai ciri-ciri kesusasteraan intelek, hasilan kepengarangan haruslah menonjolkan tahap pemahaman, kecaknaan dan apresiasi yang tinggi terhadap aspirasi masyarakat.

Dalam membincangkan konsep Kesusasteraan Rabbani ini tidak pula bermakna penulis seharusnya mempunyai pola pemilihan gaya bahasa yang klise semata-mata ingin menonjolkan konsep kesantunan insani.

Senario sebegini pastinya akan menimbulkan intertekstualiti dan menguncupkan keanekaragaman keindahan bahasa dalam sastera. Sastera juga pasti akan terbantut dan menjadi lambat matang sekiranya hal ini ditanggapi dalam lompang pemikiran sempit.

Penulis memerlukan ruang kebebasan untuk berkarya dan akan tidak selesa apabila wilayah intelektualnya diganggu gugat. Sebagai inteligensia rabbani, kepengarangan penulis sewajarnya mampu meninggalkan aroma insani terhadap masyarakat.

Ibnu Khaldun sarjana ulung Islam pada kurun ke-14 berpandangan bahawa apabila seseorang itu menulis, itulah kemuncak pembuktian daya intelektualnya yang telah melalui proses taakulan, bermula daripada peringkat ilham dan pemikiran kepada catatan atau tulisan.”

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!