APMM Kelantan fokus ketangkasan di perairan negara

Muhd Nur Syam Asmawie (tengah) bersama anggota APMM Kelantan bertekad memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara dari dibolosi anasir asing.
Muhd Nur Syam Asmawie (tengah) bersama anggota APMM Kelantan bertekad memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara dari dibolosi anasir asing.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan akan terus memastikan kecekapan warganya dalam membentengi perairan negara daripada dibolosi penceroboh dan tali barut kepada warga asing bagi memastikan nilai Kemerdekaan Malaysia yang sudah dikecapi selama 63 tahun terus terpelihara.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, tiada istilah berehat untuk APMM sepanjang penugasan pada setiap masa bagi memastikan perbatasan negara terhindar daripada pencerobohan.

“Sempena hari kemerdekaan ini, sama-samalah kita memikirkan kedaulatan negara terlebih dahulu kerana bukan sesuatu yang mudah bagi negara untuk mencapai kemerdekaan dan berada dalam keadaan tenang seperti sekarang.

“Penglibatan rakyat sebagai tali barut kepada warga asing diibaratkan sebagai pengkhianat kerana mereka cuba mengambil jalan mudah untuk mendapatkan wang dan menjadi kaya. Sepatutnya semangat patriotik perlu ada dalam diri dan harus diterapkan sejak dari kecil,” katanya sempena Pelayaran Latihan Bersepadu Secara Berkala APMM dan Aprisiasi Media di Tok Bali Jumaat lalu.

Katanya, bagi menyandang tugasan itu, APMM Kelantan mempunyai dua kapal, empat bot dan 170 anggota yang menjalankan pengawasan membabitkan 26,637 kilometer persegi perairan Laut China Selatan atau hampir dua kali ganda keluasan negeri Kelantan.

“Latihan sentiasa diadakan bertujuan memantapkan kemahiran pegawai dan anggota untuk melepaskan tembakan di lautan serta memastikan APMM berada di landasan yang betul selain sebagai persediaan dalam apa-apa jua situasi yang akan dihadapi di laut.

“APMM mempunyai senjata api berlaras pendek dan panjang selain kapal serta bot yang dilengkapi dengan sistem persenjataan 12.77 MM Oto Malaria dan meriam Aselsan SMASH 30mm jenis Remote Controlled Stabilised Weapon Station pada Kapal Maritim Tok Bali (KM TOK BALI) yang baru diterima pada awal Ogos ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jalur Gemilang yang dikibarkan bersama-sama ketika anggota APMM mengadakan rondaan mengawal perairan negara menaikkan lagi semangat patriotisme mereka.
Jalur Gemilang yang dikibarkan bersama-sama ketika anggota APMM mengadakan rondaan mengawal perairan negara menaikkan lagi semangat patriotisme mereka.

Dalam pada itu, APMM turut menyambut bulan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada bot yang digunakan untuk meronda sekali gus menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan anggota ketika menjalankan penugasan rondaan keselamatan di perairan negara.

“Semangat anggota yang sentiasa berdepan dengan ancaman nelayan asing dan anasir luar tidak pernah pudar dalam memastikan perairan negara selamat serta sumber laut terpelihara.

“Semangat patriotik dan cintakan negara sentiasa menjadi dukungan anggota APMM Malaysia kerana nilai kemerdekaan yang dikecapi amat berharga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!