Lelaki sakit mental langgar 10 kenderaan cedera dipukul
BUKIT MERTAJAM- Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental cedera pada bahagian muka akibat dipukul sekumpulan orang awam selepas dia melanggar lebih 10 kenderaan dalam kejadian di sekitar kawasan Bukit Kecil dan Alma, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pada jam 5.30 petang itu, lelaki berusia 46 tersebut memandu kereta jenis Honda Civic milik abangnya untuk ke sebuah rumah ibadat.
Menurutnya, bagaimanapun, tanpa diketahui motifnya, lelaki tersebut telah melanggar beberapa buah kenderaan sewaktu dalam perjalanan pulang.
"Hasil siasatan mendapati, mangsa memandu kenderaan tersebut dari rumahnya di Taman Alma Jaya ke Bukit Kecil untuk upacara sembahyang. Namun, dalam perjalanan pulang, dia telah melanggar lebih 10 buah kenderaan di kawasan Bukit Kecil dan Alma.
"Berang dengan tindakan mangsa, sekumpulan lelaki telah memukulnya menggunakan tangan dan topi keledar. Mangsa dibawa untuk pemeriksaan dan disahkan mengalami beberapa kecederaan di bawah mata kiri, atas hidung dan atas kelopak mata kanan.
"Pemeriksaan doktor psikiatri juga mengesahkan mangsa mengalami masalah mental. Dia kini dirujuk ke Hospital Psikiatri, Jalan Perak, Georgetown. Setakat ini, hanya dua laporan polis dibuat oleh pemilik kenderaan yang dilanggar mangsa.
"Pada masa sama polis sedang giat mengesan semua suspek yang memukul mangsa untuk siasatan lanjut. Menurut mangsa, dia tidak mengenali semua individu yang memukulnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mencederakan dengan senjata," kata Shafee lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!