7,409 kes demam denggi di Johor
PASIR GUDANG - Johor merekodkan sebanyak 7,409 kes demam denggi bermula awal tahun sehingga 15 Ogos lalu.
Jumlah itu menjadikan negeri ini yang ketiga tertinggi kes demam denggi selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, Johor Bahru melaporkan kes paling tinggi iaitu 80.5 peratus atau 5,963 kes daripada keseluruhan kes demam denggi di Johor.
"Apa yang lebih membimbangkan adalah bilangan kematian yang meningkat berjumlah 28 kematian akibat demam denggi pada tahun ini berbanding 18 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.
"Cabaran utama yang dihadapi agensi berkenaan dalam mencapai kejayaan kawalan denggi adalah pengabaian aspek kebersihan persekitaran khususnya tabiat pembuangan sampah yang tidak teratur dan sempurna, ini menyumbang kepada bekas-bekas berpotensi membiak nyamuk aedes," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Perangi Denggi 2020 Peringkat Negeri Johor di Taman Mawar di sini hari ini.
Kempen itu disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan turut dihadiri Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil serta Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor serta Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu.
Vidyanathan berkata, semua pihak bertanggungjawab untuk menyumbang kepada langkah mengekang penularan denggi dan bukan diletak atas bahu kerajaan semata-mata.
Katanya, penggemblengan tenaga semua lapisan masyarakat dalam aktiviti pembersihan seperti gotong-royong dan penghapusan bekas-bekas yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk harus dilakukan.
"Ke arah itu Kempen Johor Perangi Denggi ini berbentuk aktiviti perdampingan komuniti yang berupaya untuk memutuskan jangkitan denggi dalam komuniti," katanya.
Menurutnya, kempen itu digerakkan secara bersepadu bersama-sama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), ketua-ketua masyarakat, jawatankuasa penduduk, kawasan rukun tetangga (KRT), sukarelawan Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi), media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
Beliau berkata, di bawah kempen itu enam teras dengan pendekatan advokasi dan mobilisasi masyarakat dirancang perlaksanaannya bagi memastikan kemampuan komuniti dalam mewujudkan persekitaran mereka bebas aedes.
"Ini antaranya termasuk Program I-PAD atau Inisiatif Pemimpin Advokasi Denggi yang memberi fokus kepada penglibatan wakil rakyat dan ketua masyarakat dalam memastikan penjagaan persekitaran bebas daripada aedes.
"Begitu juga Program Combi Combat Aedes (PCCA) yang mengguna pakai pasukan sukarelawan Combi untuk lebih aktif dalam menggerakkan masyarakat sama-sama turun ke padang membersihkan kawasan persekitaran termasuk premis kediaman mereka," katanya.
Katanya, pasukan itu sekarang berkeupayaan bergerak secara berdikari dalam advokasi kumpulan masyarakat kecil seperti di sekolah-sekolah.
"Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes akan dilaksanakan dengan tumpuan diberikan aktiviti cari dan musnah dengan penglibatan semua agensi secara besar-besaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!