Covid-19: SK Ambangan Heights ditutup hingga 1 September
SUNGAI PETANI - Sekolah Kebangsaan (SK) Ambangan Heights di sini ditutup sejak semalam sehingga 1 September 2020 bagi tujuan pencegahan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda Rasmi dalam satu kenyataan menerusi Facebook memaklumkan aktiviti pembersihan dan pembasmian kuman secara menyeluruh mengikut prosedur oleh pasukan disinfeksi Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda telah dilaksanakan hari ini.
"SK Ambangan Heights diarahkan tutup mengikut Akta 342 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 subseksyen 18(1)(f).
"Pelajar dan guru yang dikenal pasti berisiko sedang dibuat penilaian dan susulan sewajarnya sedang diambil," katanya.
Sementara itu, waris yang hanya mahu dikenali sebagai Hadi, 30-an berkata, ibu bapa dimaklumkan tentang penutupan sekolah terbabit sejak semalam.
"Sebelum ini sekolah buka macam biasa, namun baru semalam dimaklumkan tutup," katanya.
Menurutnya, waris juga diarahkan membawa murid dari kelas terpilih ke sekolah bagi menjalani saringan Covid-19.
"Sejumlah murid dan guru juga dikatakan disaring sejak semalam dan ada yang disambung hari ini," katanya.
Difahamkan, tindakan itu susulan dua kanak-kanak prasekolah di sekolah terbabit disahkan positif Covid-19 pada 16 Ogos dan 19 Ogos lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!