Devan kecewa The Phoenix gagal raih mata di laman sendiri

Kesebelasan utama PJ City ketika melayan kunjungan TFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). - Foto FB PJ City FC
Kesebelasan utama PJ City ketika melayan kunjungan TFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). - Foto FB PJ City FC
A
A
A

KEKALAHAN 0-2 kepada Terengganu FC (TFC ) pada saingan CIMB Liga Super ternyata mengecewakan Ketua Jurulatih PJ City FC, K Devan yang mengharapkan skuad The Phoenix itu meraih tiga mata ketika beraksi di gelanggang sendiri.

Menurut Devan, kedua-dua gol itu berpunca akibat kesilapan dilakukan pemain tuan rumah hingga membenarkan skuad Penyu berkenaan menjaringkan dua gol pada setiap babak perlawanan.

Katanya, pemain PJ City FC juga gagal memanfaatkan deretan peluang dimiliki untuk menjaringkan gol sepanjang perlawanan berkenaan.

“Saya rasa kita bermula dengan baik bagi tempoh 25 minit yang pertama. Kita juga hasilkan peluang-peluang untuk jaringkan gol.

“Bagaimanapun hasil satu serangan balas, Terengganu pula yang berjaya jaringkan gol akibat kesilapan yang kita lakukan.

“Begitu juga dengan gol kedua yang saya lihat berpunca akibat kesilapan pemain kita di bahagian pertahanan dan kemudiannya hasil satu serangan balas Terengganu berjaya menjaringkan gol kedua mereka,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Pemain import TFC, Dominique Da Sylva membuka jaringan pada minit ke-31 sebelum menambah jaringan pada minit ke-73 bagi mengesahkan kemenangan pelawat.

Sementara itu, Devan berharap agar benteng pertahanan The Phoenix mengambil pengalaman pada perlawanan seterusnya bagi mengelakkan gawang mudah dibolosi lawan.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Devan turut berharap dapat mencari gandingan penyerang bagi membantu mempertajamkan jentera serangan pasukan.

“Kita kena tengok pemain yang mampu membantu di jentera serangan pasukan, dan kita cuma perlu memilih pemain yang sesuai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!