Navigasi tunjuk arah bukan arahan wajib

Keputusan di tangan pemandu sama ada mahu menuruti navigasi atau mengabaikannya. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Keputusan di tangan pemandu sama ada mahu menuruti navigasi atau mengabaikannya. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KECOH di media sosial sejak kelmarin apabila tersebarnya video sebuah kereta Toyota Vios yang memasuki lorong motosikal dan memandu melawan arus di Lebuhraya Persekutuan.

Insiden itu dirakamkan kamera pemuka motosikal seorang mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke Putrajaya.

Kejadian yang berlaku berdekatan bangunan Angkasapuri pada 19 Ogos lalu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan kerana cuba mengelak kereta tersebut yang keluar daripada terowong secara mengejut.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, pemandu kereta tersebut tampil ke balai polis trafik di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Alasan diberikan pemandu kereta hingga memasuki lorong motor ialah kerana menuruti arahan aplikasi navigasi.

Kes dalam siasatan polis, biarlah pihak berkuasa menyiasat dengan terperinci termasuklah alasan pemandu kereta Toyota Vios itu.

Apa yang ingin dinyatakan di sini, sebagai pemandu, aplikasi navigasi digunakan itu hanya membantu memberi tunjuk arah jalan, bukannya wajib dipatuhi sepenuhnya.

Sebagai pemandu yang cerdik akal, memandu dalam keadaan sedar dan sudah memperoleh lesen dalam tempoh yang lama sudah pasti dapat membezakan jalan untuk kereta, jalan untuk motor waima laluan untuk kenderaan air.

Artikel Berkaitan:

Kita sebagai pemandu janganlah terlalu mengharapkan navigasi pandu arah hingga membawa kenderaan masuk ke dalam sungai.

Keputusan di tangan pemandu sama ada mahu menuruti arah tersebut atau mengabaikannya.

Jika merasakan laluan itu makin sulit dan boleh memudaratkan, maka lebih baik berhenti sebentar di tempat yang selamat dan nilaikan semula laluan tersebut.

Kenapa sewaktu aplikasi navigasi belum dicipta kita boleh ke mana-mana destinasi dengan mengingati setiap jalan, tetapi sekarang ini terlalu bergantung kepada arahan navigasi?

Oleh itu, secanggih mana teknologi, kita seharusnya percaya kepada kebolehan diri sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi canggih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!