Zahid beri jaminan Muafakat Nasional tidak bubar
TANJUNG MALIM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa gabungan parti itu bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) tidak akan terbubar.
Sebaliknya beliau berkata, hubungan kerjasama antara dua parti terbesar mewakili kaum Melayu itu akan terus diperkasa bukan sekadar menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi terus dipertahan selepas PRU15.
"Demi kesatuan ummah secara keseluruhan, UMNO dan Pas tidak akan lari dan tidak akan membubarkan MN.
"Selagi Presiden Pas bersama berkongsi perasaan dengan Presiden UMNO, insyaALLAH kami bertekad bahawa MN akan terus diperkukuh untuk terus menjadi teras dalam kerajaan," katanya ketika berucap dalam Ceramah Muafakat Nasional di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River di sini malam tadi yang turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Turut hadir, Setiausaha Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Abdul Hadi dan pimpinan Pas yang lain kerana masih terus istiqamah bersama UMNO mendepani cabaran politik tanah air.
Katanya, dalam tempoh hampir setahun kewujudan MN ini, terlalu banyak tentangan dihadapi dari pihak dalam dan luar yang mahu melihat gabungan itu terkubur.
"Pada 14 September ini genaplah setahun ulang tahun kewujudan MN dan dalam tempoh perkahwinan baru setahun ini pastilah ada masalah dan kekangan yang harus kita hadapi.
"Bukan mudah untuk dilakukan kerana itulah istiqamah dalam kalangan pemimpin-pemimpin ini penting supaya kita dapat hadapi apa juga cabaran dengan jiwa besar dan berlapang dada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!