Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh Jambatan Pulau Pinang

Kereta milik lelaki terbabit ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang malam tadi.
Kereta milik lelaki terbabit ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang malam tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.36 malam itu, lelaki berusia 24 tahun itu dikatakan memberhentikan keretanya di tepi jalan di Kilometer 2.2 jambatan berkenaan dari arah pulau menuju ke Perai sebelum dia dilihat terjatuh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, selepas menerima maklumat kejadian itu daripada pihak pengurusan jambatan, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pihaknya menemui kereta jenis Perodua Bezza yang masih dalam keadaan enjin belum dimatikan dan hasil pemeriksaan menemui dompet serta kad pengenalan dipercayai milik lelaki terbabit.

"Pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan berasal dari Johor dan kita turut menemui sepasang kasut di dalam kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan malam tadi.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, operasi berkenaan dikoordinasikan oleh Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi dan turut dibantu Pasukan Polis Marin Batu Uban, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!