Pameran jualan, promosi barangan buatan tempatan rancakkan KBBM

Alexander (dua dari kanan) beramah mesra bersama peniaga produk tempatan ketika majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia Lulu Hypermarket di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur kelmarin. Foto: Bernama
Alexander (dua dari kanan) beramah mesra bersama peniaga produk tempatan ketika majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia Lulu Hypermarket di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur kelmarin. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menyedari impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kemerosotan kepada sektor peruncitan dalam negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan sektor itu kembali berdaya saing dan mampu mengekalkan sumbangan besar kepada ekonomi negara.

Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian telah mengenal pasti dan terus menggerakkan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang berpotensi untuk merancakkan sektor peruncitan di samping mengembalikan permintaan pasaran dalam negara.

Menurutnya, antara strategi dan kaedah yang paling berkesan adalah melalui penganjuran pameran jualan dan promosi barangan buatan tempatan secara terus kepada pengguna yang dapat meningkatkan kesedaran pengguna tentang kewujudan produk tempatan dan sekali gus menggalakkan pembeliannya.

"Melalui kempen ini, kementerian berhasrat untuk membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan dan memperluaskan produk dan perkhidmatan mereka selain memberikan dorongan kepada pengusaha-pengusaha tempatan dalam menghasilkan produk-produk tempatan yang setanding dengan produk luar negara yang diimport," katanya.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia@Lulu bagi tahun 2020 di Lulu Hypermarket and Departmental Store Kuala Lumpur kelmarin.

Alexander berkata, pihaknya amat teruja dengan sokongan diterima daripada pihak Lulu Malaysia yang memberikan komitmen dalam membantu menjayakan inisiatif tersebut walaupun hanya mempunyai dua outlet iaitu di Lulu Capsquare dan Lulu Shamelin.

“Saya percaya dan yakin, Lulu Malaysia banyak membantu memberikan laluan dan tempat kepada usahawan-usahawan jenama tempatan di Lulu Hypermarket & Departmental Store Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap ia dapat dijadikan contoh oleh peruncit-peruncit lain. Saya mendapat maklumat Lulu Malaysia sedang merancang untuk membuka lebih banyak outlet Lulu Hypermarket di seluruh negara seperti di Setia Alam, Johor Bahru, Bangi dan Putrajaya selain memiliki 191 cawangan Hypermarket & Departmental Store di 11 buah negara terutamanya di Timur Tengah dan Asia dengan nilai jualan AS$9 bilion setahun,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap Lulu Hypermarket & Departmental Store dapat mempertimbangkan bagi memasarkan jenama produk-produk Malaysia dengan lebih agresif ke pasaran Timur Tengah melalui pasar raya mereka sebagai platform atau hub untuk barangan Malaysia menembusi pasaran di rantau berkenaan.

“Pada tahun 2019, Lulu Malaysia telah membantu memasarkan produk-produk Malaysia terutamanya produk makanan dan minuman serta barangan segar berjumlah lebih RM10 juta ke pasaran Timur Tengah dan kita berharap agar tahun ini jumlah tersebut akan dapat dipertingkatkan dengan lebih banyak lagi,” katanya.

Alexander (dua dari kanan) merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia pada majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di Lulu Hypermarket di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur kelmarin. Foto: Bernama
Alexander (dua dari kanan) merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia pada majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di Lulu Hypermarket di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur kelmarin. Foto: Bernama

Dalam pada itu, sebanyak 16 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan turut diberikan peluang untuk mempamerkan produk mereka sempena Kempen Beli Barangan Malaysia@Lulu secara bergilir-gilir di reruai pameran yang berlangsung bermula 22 Ogos sehingga 31 Ogos ini. #BARANGBAIKBARANGKITA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!