Isu longkang dapat perhatian dalam sidang Dun
SHAH ALAM - Kerajaan negeri mengakui wujud kekeliruan berhubung persempadanan penyelenggaraan longkang antara agensi pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, pihaknya sedang meneliti mekanisme penyelesaian berhubung perkara itu.
"Saya terima banyak aduan yang longkang tidak diselenggara kerana tiada pihak mengaku untuk penyelenggaraan longkang tersebut dan perkara itu telah dibincangkan beberapa kali untuk mengenal pasti langkah yang perlu diambil.
"Antaranya dengan menyediakan inventori bagi pastikan setiap longkang ada pemiliknya dan diselenggara mengikut indeks pencapaian utama (KPI) yang ditetapkan," katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad di hari pertama Sidang Dun Selangor berkenaan wujud saling tolak-menolak antara agensi berhubung isu penyelenggaraan.
Terdahulu, Dr Idris bertanya mengenai perancangan kerajaan negeri di bawah JPS dan JKR untuk atasi masalah banjir di kawasannya.
Izham berkata, pam bergerak akan dipasang di kawasan Ijok untuk mengeluarkan air banjir ke Sungai Buloh sebagai penyelesaian jangka masa pendek.
"Bagi perancangan jangka panjang pula adalah menaiktaraf Pintu Kawalan Pasang Surut Sungai Buloh yang sedang dibina di Kampung Ijok dijangka siap 18 Julai tahun depan dengan kos sebanyak RM1.9 juta.
Sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Jajaran Sungai Buloh sedang dalam proses tender melibatkan kerja kajian dan cadangan kemudahan rumah pam, mendalam serta melebar Sungai Buloh, juga menaiktaraf benteng ban serta tebing sungai sama," katanya.
Tambahnya, kejadian banjir bukan hanya disebabkan isu penyelenggaraan semata-mata sebaliknya turut disumbangkan oleh taburan hujan luar biasa.
"Bagaimanapun kerajaan negeri ambil tiga langkah penyelenggaraan di sungai dan parit, kolam takungan (sedang diselesaikan) dan senarai hotspot banjir yang akan diberikan keutamaan penyelesaian.
"Kos untuk perancangan tebatan banjir ini tinggi dan ambil masa untuk dilaksanakan. Pelan jangka masa panjang perlu melibatkan kawasan menyeluruh," katanya.
Isu banjir turut menjadi perhatian Adun Kota Damansara, Shatiri Mansor dan Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar yang turut bertanyakan permasalahan banjir di kawasan masing-masing.
Izham menjelaskan soalan banjir terlalu banyak dan akan menjawab pertanyaan tersebut mengikut aturan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!