Isteri maut, suami dan anak cedera kemalangan
KUALA LUMPUR - Seorang wanita maut selepas kereta dinaiki bersama suami dan anak terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di bulatan Kepong, di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mangsa dikenali sebagai Haslina Ibrahim, 49, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
"Pemandu yang juga suami mangsa, Zakaria Mohamad, 49, dan anaknya, Mohd Imran,17, dilaporkan cedera dalam kemalangan itu," katanya melalui kenyataan media, hari ini,
Zulkefly berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia dinaiki keluarga itu menghala ke bulatan Kepong dari pusat bandar.
"Manakala, sebuah lagi kereta jenis Toyota Wellfire dari Jalan Kepong menghala ke tempat kejadian dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian sisi kiri kereta mangsa," katanya.
Beliau berkata, impak daripada pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan berkenaan terbabas.
"Haslina yang tersepit dalam kereta itu disahkan maut di lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya, Toyota Vellfire itu pula dinaiki empat lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 24 tahun, turut cedera akibat kemalangan itu.
"Kesemua mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan, manakala mayat mangsa ditempatkan di Unit Forensik HKL untuk proses bedah siasat," katanya.
Zulkefly berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada bau alkohol dikesan pada pemandu Toyota Vellfire, namun sampel darah dan air kencing diambil untuk analisa Jabatan Kimia.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 12.41 tengah malam.
Seramai 19 anggota menaiki empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Sentul dan BBP Gombak bergegas ke lokasi kejadian.
Setibanya jentera bomba di lokasi kejadian, mereka mendapati Toyota Vellfire yang dinaiki empat lelaki tersebut terjunam ke dalam Sungai Batu, berdekatan bulatan Kepong.
Keempat-empat mangsa itu berjaya diselamatkan. Anggota Bomba dan Penyelamat mendapati dua lelaki yang menaiki Perodua Axia cedera ringan, manakala seorang wanita yang tersepit di dalam kenderaan itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!