Sekatan bank suami liat beri nafkah dibawa ke Kabinet

Dr Mujahid Yusuf
Dr Mujahid Yusuf
A
A
A

TELUK INTAN - Mekanisme untuk mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang liat memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian akan dibawa ke Kabinet bulan hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Beliau berkata perkara itu kini berada pada peringkat akhir setelah pihaknya mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kewangan, Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ia dijangka dilaksanakan serta-merta pada tahun ini.

"Ini kerana mahkamah yang menumpukan soal tuntutan nafkah (isteri) dan anak ini juga ada kuasa 'bail live' bermakna ada kuasa penguatkuasaan kepada keputusan mahkamah yg dibuat tetapi tidak dilaksanakan.

"(Sebagai contoh), (suami) boleh pergi ke bank beri surat tunjuk sebab atau boleh teliti harta-harta yang dia ada supaya bekas suami dapat membayar tuntutan nafkah kepada bekas isteri dan anak seperti yang diperintahkan oleh mahkamah," katanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Islam Rahmatan Lil Alamin di sini hari ini.

Sebelum ini, Mujahid berkata tindakan lebih tegas sedang dipertimbang kerajaan termasuk cadangan mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian.

Katanya, langkah itu bertujuan membela kaum wanita yang selama ini ditindas oleh sesetengah suami yang tidak melaksanakan tangggungjawab membayar nafkah kepada isteri yang mereka ceraikan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata mekanisme itu bagi membolehkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah menggunakan kaedah seperti menuntut nafkah daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan akaun bank suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan setelah diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan wanita tidak ada tempat untuk mengadu dari segi penguatkuasaan, jadi kita melihat keperluan penguatkuasaan kepada wanita yang tidak diberikan keadilan dari sudut nafkah yang sudah diputuskan Mahkamah Syariah," kata Mujahid. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!