Tiada denda dikenakan terhadap syarikat lewat serah kapal peronda

Nik Azman (tengah) menunjukkan buku Laporan Audit Negara Tahun 2019 pada sidang media di sini hari ini.
Nik Azman (tengah) menunjukkan buku Laporan Audit Negara Tahun 2019 pada sidang media di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sejumlah RM116.54 juta denda lewat (liquidated damages) tidak dikenakan Kementerian Pertahanan (Mindef) terhadap syarikat atas kelewatan penyerahan Kapal Peronda Generasi Kedua (Kapal LCS 1).

Perkara itu didedahkan Ketua Audit Negara (LKAN), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid pada pembentangan Laporan LKAN Tahun 2019 Siri 1, di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah bayaran itu bagi kelewatan penyerahan Kapal LCS 1 selama 245 hari dari tarikh sepatutnya diserahkan iaitu April 2019.

"Jabatan Audit Negara (JAN) juga mendapati bayaran kemajuan yang dibuat terhadap Kapal LCS 1 melebihi kemajuan kerja sebenar iaitu 21.1 peratus," katanya.

Menurutnya, Mindef juga didapati tidak mengenakan denda lewat berjumlah RM15.04 juta terhadap syarikat atas pembekalan pelancar Lightweight Multiple Launcher- New Generation (LML-NG) antara 28 hingga 171 hari dari tarikh sepatutnya diserahkan iaitu September 2018.

"Perolehan dibuat untuk 24 LML,-NG, tetapi didapati 20 buah yang lewat diserahkan," katanya.

Beliau berkata, JAN juga mendapati, sembilan kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan pihak United Nations (UN) sehingga menyebabkan bayaran balik yang diterima terkurang RM2.22 juta.

"APC ini untuk kegunaan Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan spesifikasi, APC perlu mempunyai sistem senjata 'integrated' yang membolehkan anggota Malbatt keselamatan melepaskan tembakan dari dalam kenderaan.

"Sebaliknya apa yang diterima, anggota MALBATT terpaksa mengeluarkan kepala dari APC untuk melepaskan tembakan," katanya.

Nik Azman berkata, ketidakpatuhan terhadap spesifikasi itu boleh merisikokan keselamatan anggota MALBATT

Justeru katanya, JAN mengesyorkan Mindef menguatkuasakan klausa denda lewat terhadap syarikat atas kelewatan penyerahan dan pembekalan dengan membuat potongan daripada bayaran kemajuan seperti diperuntukkan dalam kontrak.

"Mindef perlu memastikan penyediaan kontrak secara beli semula perlu mengambil kira spesifikasi atau keperluan penggunaan berkaitan selain mengenakan tindakan sewajarnya terhadap syarikat atau pegawai yang tidak mematuhi kehendak dan arahan jabatan seperti tertakluk dalam undang, peraturan kewangan, kontrak serta standard prosedur operasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!