Pembenihan awan di Empangan Teluk Bahang bermula hujung Ogos

A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menjalankan lapan operasi pembenihan awan di Empangan Teluk Bahang bagi mencetuskan hujan di kawasan tadahan air empangan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, siri pertama operasi itu dijadualkan sebelum akhir bulan ini.

Bagaimanapun katanya, hasilnya bergantung pada keadaan cuaca, terutama kehadiran awan hujan di kawasan yang disasarkan.

"Lapan operasi akan dijalankan pada hari yang dipilih ketika keadaan cuaca dalam optimum untuk impak maksimum, dari segi hujan. Operasi itu akan dijalankan oleh syarikat swasta yang disyorkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Objektif utama operasi untuk segera mengisi simpanan air mentah Empangan Teluk Bahang selain bertujuan mencapai kapasiti empangan yang 'sihat' (selamat) menjelang Disember ini, iaitu sebagai persediaan untuk musim kemarau tahunan berikutnya yang dijangka akan bermula dari Januari 2021," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Jaseni berkata, operasi pembenihan awan itu juga bagi melengkapi corak hujan semula jadi pada waktu ini.

"Kita berharap Empangan Teluk Bahang akan pulih dari kesan teruk perubahan iklim di Pulau Pinang sejak pertengahan 2019. PBAPP juga sudah meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Teluk Bahang.

"Ini kerana, kapasiti efektif empangan itu ketika ini ialah 17.2 peratus, iaitu cukup untuk menampung 52 hari bekalan air normal di Teluk Bahang, Batu Ferringhi dan kawasan sekitar Tanjung Bungah. Ini adalah kapasiti efektif terendah yang dicatatkan untuk empangan itu sejak beroperasi pada 1999," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam tempoh 1 hingga 21 Ogos, kapasiti efektif empangan tersebut menurun daripada 20 kepada 17.3 peratus dengan pengurangan 2.7 peratus (purata 0.13 peratus sehari).

"Hujan di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang dalam tempoh itu mencatatkan 68.5 milimeter (mm). Penurunan kapasiti efektif minimum untuk meminimumkan pelepasan dalam melanjutkan hari pembekalan empangan selama mungkin.

"Semakin sedikit pelepasan, semakin lama baki simpanan empangan akan bertahan namun kita harus memastikan bekalan air yang berterusan di kawasan pelancong di utara pulau ini," katanya.

Tambahnya, PBAPP tidak akan menghentikan pelepasan sepenuhnya atau menghenti tugas empangan walaupun kapasiti efektifnya sangat rendah.

"Sebab utama 'status abnormal' Empangan Teluk Bahang hari ini adalah hujan yang rendah dalam tempoh 12 bulan dari 1 Ogos 2019 hingga 31 Julai tahun ini.

"Dalam tempoh ini, jumlah hujan yang dicatat di kawasan tadahan air Empangan Teluk Bahang adalah 4,466 mm. Jumlah hujan ini 30.3 peratus lebih rendah daripada purata hujan 6,411mm untuk tempoh yang sama bagi 3 tahun iaitu pada tahun 2017, 2018 dan 2019," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!