Presiden Brazil mahu tumbuk mulut wartawan

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro mahu menumbuk seorang wartawan yang bertanya tentang isu rasuah melibatkan isterinya, Michelle. - Foto AFP
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro mahu menumbuk seorang wartawan yang bertanya tentang isu rasuah melibatkan isterinya, Michelle. - Foto AFP
A
A
A

SAO PAULO - Presiden Brazil, Jair Bolsonaro semalam mengancam untuk menumbuk seorang wartawan berulang kali di mulut selepas beliau ditanya tentang hubungan isterinya dengan dakwaan satu skim rasuah.

"Saya mahu melenyek mulut awak dengan tumbukan," kata presiden itu selepas seorang wartawan akhbar O Globo mengemukakan soalan tersebut.

Wartawan itu ialah sebahagian daripada sebuah kumpulan pemberita yang bertemu dengan Bolsonaro setelah dia mengunjungi Gereja Metropolitan di Brasilia semalam.

Presiden berkenaan tidak mempedulikan protes daripada beberapa wartawan lain selepas dia membuat kenyataan tersebut dan meninggalkan mereka tanpa membuat sebarang komen yang lanjut.

Wartawan itu bertanya mengenai satu laporan dalam majalah Crusoe yang mengaitkan isterinya, Michelle dengan seorang pegawai polis bersara, Fabrício Queiroz.

Queiroz merupakan rakan kepada presiden dan bekas penasihat anak lelakinya, Flavio yang kini seorang senator.

Michelle bersama Queiroz kini sedang disiasat berhubung satu skim yang didakwa melakukan penipuan bayaran daripada para pekerja kerajaan ketika anak lelaki presiden itu merupakan seorang wakil rakyat di Rio de Janeiro dan sebelum Bolsonaro menjadi presiden pada Januari tahun lalu.

Menurut majalah tersebut, Queiroz memasukkan dana ke dalam akaun bank Michelle antara tahun 2011 hingga 2016.

Artikel Berkaitan:

Namun, wanita pertama Brazil itu tidak membuat sebarang kenyataan berhubung dengan kes tersebut. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!