PAS gesa pengundi PRK Slim buat perubahan
SHAH ALAM - Pas menggesa pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim supaya membuat perubahan dengan mengundi calon Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dengan mengundi calon PN, kesatuan umat Islam dapat diperkukuhkan di samping dapat mengajak bukan Islam yang tidak ekstrem untuk bersama.
"Saya menggesa pengundi di Slim untuk membuat perubahan dalam PRK ini dengan mengundi calon PN, kesatuan umat Islam diperkukuhkan, dan diajak bukan Islam tidak ekstrem untuk bersama," ciap Abdul Hadi di Twitternya sebentar tadi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang yang muncul di pentas ceramah di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River di Perak malam tadi turut memuat naik beberapa rangkap pantun di Twitternya itu.
Beliau berpesan agar pengundi di kawasan berkenaan agar tidak melakukan kesilapan dalam memilih calon mereka sambil menyifatkan pengundi di DUN Slim adalah golongan yang bijak.
"Sama-sama angkat baldi,
Kita isi buah berangan,
Jangan silap memangkah undi,
Nanti menyesal masa berpanjangan.
"Tangan dihulur tangan berjabat,
Supaya kita makin dekat,
Calon kita calon hebat,
Sama-sama kukuh muafakat.
"Kita muafakat sama membajak,
Sama minum satu perigi,
Pengundi Slim orangnya bijak,
Jangan silap pangkah undi," ciapnya.
Terdahulu, PRK Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional yang mewakili PN dan dua calon Bebas.
BN mempertaruhkan anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan.
Seorang lagi calon adalah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding atas tiket Bebas mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramanian, 42, pula adalah seorang bekas guru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!