Remaja bunuh 23 individu di pusat tahfiz failkan rayuan
KUALA LUMPUR - Remaja lelaki berusia 19 tahun yang diperintahkan ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, telah memfailkan rayuan terhadap perintah itu.
Peguamnya Haijan Omar ketika dihubungi berkata, satu notis rayuan difailkan terhadap perintah Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos itu menerusi sistem e-filing sehari selepas mahkamah membuat keputusan.
“Kami memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman,” katanya.
Hakim Datuk Azman Abdullah menyabitkan remaja itu dengan pertuduhan dikenakan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap 23 tuduhan membunuh dihadapi remaja itu.
Azman berkata, kerana remaja itu seorang juvana (berumur 16 tahun) semasa kesalahan itu dilakukan, beliau menggunakan Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dalam menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Pada 28 Januari 2020, Azman mengarahkan remaja itu membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Menurut pertuduhan pindaan, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.
Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!