Covid-19: Surau Aman Sentral ditutup sementara
ALOR SETAR - Sebuah surau di Aman Sentral di sini, ditutup buat sementara waktu untuk kegunaan orang awam bermula semalam.
Eksekutif Kanan Pemasaran dan Komunikasi Aman Sentral, Hafizuddin Bahdun berkata, penutupan berkenaan adalah sebagai langkah awal mencegah penularan koronavirus (Covid-19) di Alor Setar atau Kedah.
Katanya, pihaknya mendapati surau di pusat membeli belah berkenaan tidak hanya dikunjungi pengunjung Aman Sentral, malah orang awam.
"Susulan itu, kami menyokong usaha kerajaan negeri dan berharap penutupan sementara surau dapat mengurangkan potensi penularan wabak berkenaan di Alor Setar.
"Selain surau, kami juga memastikan kesemua premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari masa ke masa," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, orang awam juga dinasihatkan mematuhi kesemua SOP PKPP sepanjang mengunjungi Aman Sentral.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!