Rakyat Kelantan berjaya di negeri lain ada sebabnya...
KOTA BHARU – Infrastruktur antara faktor yang menyebabkan golongan profesional di Kelantan berhijrah keluar negeri ini, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Radzi Jidin.
Menurutnya, bagi membangunkan sesebuah negeri, sumber utama yang diperlukan adalah sumber manusia, bukan hanya sumber asli dan sebagainya.
“Kita ada kekuatan dan kehebatan dari segi sumber tetapi yang paling kritikal ialah sumber manusia itu sendiri. Kekangan dalam apa juga situasi, ada pelbagai faktor menolak dan menarik.
“Antara peluang dan infrastruktur, ada yang mahu melabur tapi melihat kepada infrastruktur yang ada, mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat. Faktor ini cukup luas. Kita sedang lihat apa yang kita boleh gemblengkan untuk semua pihak,”katanya kepada media di sini.
Beliau berkata demikian semasa sidang media perasmian Pameran Kartun Antarabangsa di Balai Kartun Rossem, Peringat di sini.
Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melahirkan rasa musykilnya mengenai kemampuan rakyat dari Kelantan yang boleh berjaya dalam pelbagai bidang terutama perusahaan dan perniagaan di tempat lain, namun tidak dapat melakukannya atau menyumbang kepada pembangunan negeri asal mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!