PM serah pihak berkuasa jalankan siasatan

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan mengenai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari Turki akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang.'

Tegas beliau, setiap rakyat tertakluk bawah undang-undang dan tiada siapa pun terkecuali.

"Kerajaan mengambil maklum dan memandang serius kes dakwaan pelanggaran perintah kuarantin Mohd Khairuddin selepas beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpendirian bahawa setiap rakyat Malaysia tertakluk di bawah undang-undang negara dan tidak ada sesiapa pun yang terkecuali.

"Sehubungan itu, saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Mohd Khairuddin memohon maaf kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas beberapa hari berdepan kritikan pelbagai lapisan masyarakat.

Mengambil tanggungjawab itu, Mohd Khairuddin juga memulangkan gajinya sebagai Menteri, bermula Mei hingga bulan ini, untuk disumbangkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19).

Katanya, langkah itu adalah tanda memohon maaf dan sebagai bertanggungjawab atas kesilapannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib bulan lalu, yang menyebabkan beliau dikompaun RM1,000.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!