Mayat warga emas terapung tepi sungai
KEPALA BATAS - Mayat lelaki warga emas ditemukan terapung di tepi sungai Permatang Bendahari, Penaga di sini tengah hari tadi.
Mayat Ooi Kay Huat,68 ditemui terapung dalam keadaan tertirap dengan masih memakai topi keledar oleh orang awam kira-kira jam 12.50 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas mendapati bapanya tiada di rumah ketika mahu membawanya ke hospital swasta untuk rawatan sakit jantung pada jam 7 pagi, hari ini.
Menurutnya, anak lelaki berusia 39 tahun itu bertanyakan kepada ibunya mengenai ayahnya sebelum dimaklumkan mungkin dia pergi sembahyang diTaman Merak Jaya, Simpang Ampat dengan menaiki motosikal jenis Honda Ex-5.
Bagaimanapun selepas mencari di kawasan terbabit dan beberapa tempat yang selalu dikunjungi bapanya sebelum ini, mereka tidak menemui lelaki berkenaan
"Mereka turut mencari di Hospital Sungai Bakap dan beberapa hospital swasta yang pernah bapanya menerima rawatan namun dimaklumkan tiada rekod kemasukan di hospital terbabit.
"Bimbang suatu yang buruk berlaku, anak mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan bapanya di Balai Polis Simpang Ampat namun semua persoalan itu terjawab tidak lama kemudian apabila mereka dimaklumkan mengenai penemuan mayat warga emas terbabit di dalam sungai Permatang Bendahari,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Noorzainy berkata, daripada keterangan ahli keluarga mangsa tidak mengalami masalah kewangan serta tidak pernah bergaduh dengan orang lain.
Katanya, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati tiada kesan yang meragukan serta unsur jenayah yang dapat di kesan di kawasan tersebut malah polis turut menemui dompet, telefon bimbit serta barangan peribadi pada mangsa.
"Bagaimanapun motosikal milik mangsa setakat ini masih belum ditemui.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas dan hasil bedah siasat mendapati lelaki terbabit mati disebabkan lemas," katanya.
Tambah Noorzainy, mayat mangsa dituntut oleh keluarga dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!