Kerajaan wajar hapuskan bayaran kuarantin
JOHOR BAHRU - Kerajaan perlu menghapuskan kos RM2,100 untuk bayaran proses kuarantin terhadap pekerja Malaysia di Singapura yang pulang dengan tidak menggunakan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, S Gopalakrishnan berkata, bayaran tersebut tidak wajar kerana bukan semua pekerja Malaysia mempunyai wang dan ramai yang pulang tidak lagi mempunyai sumber pendapatan.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor memberitahu menerima aduan seorang petugas meminta rantai emas yang dipakai seorang pekerja Malaysia di Singapura kerana tidak mampu membayar kos ujian swab dan kuarantin.
"Perkara ini tidak wajar sama sekali dan kerajaan perlu menghentikan 'penderaan' terhadap pekerja Malaysia di Singapura yang pulang dari sana," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini tular video seorang petugas di pusat kuarantin di Malaysia Productivity Corporation (MPC) meminta rantai emas seorang pekerja Malaysia di Singapura kerana tiada wang untuk membayar kos kuarantin.
Bermula 17 Ogos lalu, mereka yang pulang menggunakan skim PCA dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) menerusi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB), Gelang Patah, perlu dikuarantin.
Bagi rakyat Johor perlu dikuarantin semalam 14 hari di rumah sendiri dengan pemantauan ketat manakala mereka yang bukan rakyat Johor, akan menjalani proses kuarantin di Hotel KSL jika keluar melalui BIS atau Hotel Amansari jika keluar dari BSAB.
Gopalakrishnan berkata, pihaknya juga mendapat aduan mendakwa empat rakyat Malaysia yang balik dari republik itu tidak diberikan makan dan minum termasuk tempat tinggal semasa menjalani ujian tersebut pada 11 pagi 22 Ogos hingga 11 pagi esoknya.
"Pendatang asing menerima layanan baik dalam kem tahanannya. Mengapa warganegara kita tidak mendapat layanan yang seperti ini," soalnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pekerja Malaysia-Singapura, V Lugiswaran, mewakili lelaki yang dipaksa menyerahkan rantai emas dikenali sebagai Karan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Larkin di sini hari ini.
Katanya, laporan tersebut dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut kerana tidak mahu pihak lain menerima masalah sama.
"Kami mempunyai bukti video yang pegawai kerajaan itu meminta rantai emas berkenaan. Video ini sedang tular media sosial. Ketika ini semua pekerja Malaysia di Singapura yang pulang dan tidak menggunakan skim PCA wajib dikuarantin di hotel-hotel disediakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!