Maghribi tolak jalin hubungan dengan Israel

Saad Dine El Otmani
Saad Dine El Otmani
A
A
A

RABAT - Perdana Menteri Maghribi menegaskan pendirian negara itu untuk menolak sebarang usaha untuk menormalkan hubungan dengan Israel menjelang lawatan penasihat kanan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke rantau Arab.

"Kami enggan menjalin hubungan dengan entiti Zionis kerana ia jelas melanggar hak penduduk Palestin," kata Saad Dine El Otmani semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas menantu Trump terbabit dijangka mengadakan lawatan ke Rabat dalam tempoh beberapa hari akan datang sebagai sebahagian daripada muslihat AS untuk menghasut negara Arab lain mengikut langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mencapai perjanjian damai kontroversi dengan Israel.

Maghribi dengan tegas menyatakan ia tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak yang mahu melemahkan tuntutan Palestin.

Pada 1993, Rabat-Tel Aviv mula menjalinkan hubungan peringkat rendah selepas perjanjian yang kononnya untuk perdamaian antara Israel dan Palestin dicapai.

Tetapi, Maghribi menggantung hubungan dengan rejim Israel selepas Intifada tercetus pada tahun 2000.

The Associated Press memetik kenyataan tiga diplomat melaporkan Kushner juga akan berkunjung ke Bahrain, Oman, Arab Saudi dan Israel selepas Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo membuat lawatan secara berasingan.

Perjanjian damai kontroversi digelar Perjanjian Abraham itu menjadikan UAE sebagai negara ketiga yang menormalkan hubungan dengan Israel selepas Mesir (1979) dan Jordan (1994).

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, perjanjian tersebut turut mencetuskan protes sebagai tanda solidariti dengan Palestin termasuk di Tunisia.

Tindakan seorang wartawan di Tunisia mengoyak gambar Putera Mahkota Abu Dhabi, Putera Mohammed Zayed dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai membantah perjanjian damai kontroversi itu turut menjadi tular di media sosial. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!