'Saya mohon maaf, tak sengaja pakai baju logo parti'
LIPIS - Calon PH, M.Manogaran membuat permohonan maaf selepas tindakannya memakai baju berlogokan parti itu di pekarangan pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sinderut pagi tadi menghangatkan hari pengundian PRK Cameron Highlands, hari ini.
Dakwanya,beliau tidak sedar tindakannya memakai pakaian tersebut kerana telah menjadi kebiasaannya sebelum ini sepanjang kempen PRK Cameron Highlands.
Tegasnya perkara itu bukanlah menjadi satu isu memandangkan beliau telah keluar daripada pusat mengundi terbabit selepas diarahkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Pagi tadi saya ke Pos Sinderut dan saya tidak berniat memakai baju yang sama (berlogo parti) dan saya minta maaf.
"Saya tidak perasan sebab dua minggu saya pakai macam itu saya tidak berniat dan saya juga telah cakap kepada pengundi saya tidak berniat (berkempen dan melakukan provokasi)," katanya kepada pemberita, hari ini.
Manogaran, 61, ditemui di pusat mengundi,SK Betau selepas tiba pada jam 1 petang tadi dan melakukan tinjauan di pusat tersebut.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai isu pemberian hadiah yang didakwa dilakukan jentera PH malam tadi yang tular di laman sosial Manogaran menjelaskan tidak mengetahui perkara berkenaan kerana berada di kampung Orang Asli.
Ujarnya beliau akan mendapatkan laporan mengenai kejadian itu sebelum mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!