Kolam renang ternak ikan

Kolam renang yang telah dijadikan kolam ikan di Aveda Resort di Kumarakom di negeri Kerala, India. - Foto: AFP
Kolam renang yang telah dijadikan kolam ikan di Aveda Resort di Kumarakom di negeri Kerala, India. - Foto: AFP
A
A
A

KOCHI - Sebuah resort mewah di selatan India telah menukar kolam renang menjadi kolam ikan sebagai usaha meneruskan perniagaan pada musim wabak koronavirus (Covid-19).

Sebelum ini, kolam renang di Aveda Resort di Kumarakom negeri Kerala tersebut sesak dengan pelancong dari Eropah, namun kini ribuan ikan pearl spot atau 'karimeen' memenuhi kolam terbabit.

Kompleks terbabit terpaksa ditutup pada Mac lalu selepas perintah berkurung di seluruh negara dikuatkuasakan.

Sejak itu hanya sebahagian hotel dibenarkan untuk beroperasi semula.

"Pendapatan kami kini sifar. Bermula Jun lalu, kami menempatkan kira-kira 16,000 ikan spesies pearl spot berusia dua bulan di dalam kolam renang tersebut untuk ternakan," kata Pengurus Besar Aveda, Jyotish Surendran.

Difahamkan, ikan tersebut yang merupakan hidangan popular di selatan India dan Asia Barat mengambil tempoh kira-kira lapan bulan untuk mencapai saiz sesuai sebelum ia boleh dijual.

"Kami merancang ia dapat dieksport ke Asia Barat menjelang November depan," ujarnya yang meramalkan pasaran kira-kira empat tan ikan pearl spots terbabit bernilai AS$40,000 (RM167,020).

Menurutnya, hasil jualan ikan tersebut tidak dapat menampung kerugian yang dialami mereka, namun Surendran berharap ia dapat digunakan untuk membayar bil asas bagi memastikan perniagaan itu terus beroperasi sehingga pelancong kembali berkunjung ke hotel terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan mencari alternatif lain untuk meneruskan projek ternakan lebih besar pada masa depan apabila perniagaan kami kembali pulih," tambahnya lagi. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!