Rusia lancar vaksin kedua Covid-19
VAKSIN pertama koronavirus (Covid-19) yang dihasilkan secara terburu-buru oleh Rusia pada awal bulan lalu telah mencetuskan keraguan dalam kalangan penyelidik Barat tentang keberkesanan dan keselamatannya.
Walaupun kontroversi tentang vaksin digelar Sputnik V itu belum reda, saintis daripada Vector State Research Center of Virology and Biotechnology pula mengumumkan mereka kini sedang menghasilkan vaksin kedua digelar EpiVacCorona yang diharap dapat didaftarkan seawal Oktober dan pengeluarannya bermula pada November depan.
Kemudahan tersebut merupakan bekas pusat penyelidikan senjata biologi Kesatuan Soviet di Siberia yang kini menjadi institut virologi terkemuka di dunia.
Sputnik V yang didakwa mengabaikan langkah-langkah penting dalam penyelidikannya dikatakan mencetuskan tindak balas imun selepas dua dos suntikan diberikan dalam tempoh 14 hingga 21 hari.
Sputnik V yang tidak menjalani ujian klinikal fasa ketiga bagaimanapun menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti fizikal menjadi lemah, demam, hilang selera makan, sakit kepala, cirit-birit, sakit pada orofarinks (bahagian farinks yang terletak antara lelangit lembut dan tulang hioid), hidung berair dan sakit tekak.
Selain itu, individu yang mendapat suntikan vaksin dihasilkan Gamaleya Scientific Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Moscow itu juga mengalami bengkak, hipertemia dan kegatalan pada tempat suntikan.Vaksin kedua, EpiVacCorona dilaporkan cuba menghindari kesan sampingan yang ada pada Sputnik V yang diluluskan Presiden Vladimir Putin pada 11 Ogos lalu.
Ujian klinikal vaksin kedua tersebut dijangka selesai pada bulan depan dan ujian klinikal ke atas 57 sukarelawan yang dijadikan ‘tikus makmal’ menunjukkan ia tiada kesan sampingan selain keputusan yang memberangsangkan.
“Suntikan dos vaksin tersebut tidak menjejaskan kesihatan atau memberi kesan buruk terhadap kesemua sukarelawan terbabit termasuk 43 yang menerima plasebo. Hanya seorang sukarelawan telah menerima dua dos suntikan,” ujar kumpulan pemerhati utama kesihatan di Moscow, Rospotrebnadzor.
Agensi berita Interfax melaporkan kesemua sukarelawan tersebut dimasukkan ke hospital selama 23 hari untuk menjalani ujian klinikal tersebut.
Difahamkan, vaksin EpiVacCorona itu bertujuan untuk menghasilkan tindak balas imun kepada tubuh selepas dua dos suntikan diberikan dalam tempoh 14 hingga 21 hari.
Ketika ini, terdapat lebih 160 vaksin berpotensi Covid-19 sudah berada di beberapa fasa ujian dan lima daripadanya juga telah melakukan ujian klinikal ke atas manusia.
FDA benar guna plasma pemulihan
Kebanyakan saintis berpendapat tempoh paling cepat dan singkat untuk penghasilan vaksin tersebut adalah pada awal 2021 berikutan proses untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan vaksin adalah sangat kompleks dan biasanya mengambil masa 10 hingga 15 tahun.
Kelmarin, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) mengeluarkan kebenaran kecemasan bagi menggunakan plasma pemulihan untuk merawat Covid-19.
Keputusan itu dibuat berdasarkan manfaat berpotensi daripada kaedah tersebut.
Menurut FDA, terdapat lebih 70,000 pesakit dirawat dengan kaedah plasma pemulihan tersebut yang menggunakan darah daripada pesakit Covid-19 yang telah pulih.
Plasma pemulihan tersebut adalah antara terapi berpotensi yang telah menjalani ujian klinikal.
Di bawah prosedur itu, plasma kaya antibodi pesakit yang telah pulih jangkitan virus itu akan disuntik kepada pesakit untuk merangsang sistem imun mereka bagi membolehkan ia melawan virus itu sehingga tubuh individu tersebut dapat menghasilkan antibodi sendiri.
Pada akhir Mac lalu, FDA memberi lampu hijau kepada saintis untuk mencuba rawatan plasma pemulihan tersebut dan mengkaji kesannya.
Difahamkan, ia telah digunakan untuk merawat lebih 60,000 pesakit Covid-19.
Bagaimanapun, rawatan plasma pemulihan itu berdepan bekalan yang terhad kerana ia perlu didermakan pesakit Covid-19 yang telah sembuh.
Sehingga kini, masih tiada data ujian klinikal terhadap rawatan tersebut walaupun kaedah itu dilihat boleh dijadikan sebagai rawatan alternatif kepada suntikan vaksin. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!