Hari Kebangsaan suram dilanda Covid-19
TANGGAL 31 Ogos, hari keramat untuk seluruh negara kerana pada hari itu kita akan menyambut hari kemerdekaan yang bebas daripada penjajah.
Setiap tahun, segenap pelosok tanah air akan memasang bendera kebanggaan kita, Jalur Gemilang tidak kira di depan rumah, kedai, sekolah, bangunan pejabat ataupun atas kenderaan bagi menunjukkan rasa sayang kepada negara kita yang tercinta.
Tahun ini, negara kita telah ‘berusia’ 63 tahun setelah melihat turunnya bendera British Union Jack dan berkibarlah Jalur Gemilang di langit Malaysia dengan megah.
Laungan ‘Merdeka’ oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur boleh mengembalikan kenangan kepada kita erti kemerdekaan.
Bagaimanapun, tahun ini sambutan Hari Kebangsaan menjadi suram apabila masih diselubungi wabak koronavirus (Covid-19) sejak Mac lalu.
Berbanding dengan kebanyakan negara-negara lain, kita sepatutnya rasa bersyukur penularan Covid-19 dalam negara kita kerana ia agak terkawal. Usaha frontliners yang bertungkus lumus siang malam perlu kita hargai.
Mengambil iktibar sesudah lebih 800,000 nyawa telah terkorban dan lebih 22 juta kes telah dicatatkan di seluruh dunia sehingga hari ini, kita sebagai rakyat tanpa mengira pangkat, kaum dan agama perlulah bersatu padu menangani Covid-19.
Menjelang Hari Kebangsaan, marilah kita mengisi makna kemerdekaan ini dengan berganding bahu berperang melawan Covid-19 hingga berjaya.
Covid-19 kini adalah musuh kita bersama. Virus itu akan lebih mudah dinyahkan sekiranya seluruh rakyat sehati sejiwa menanganinya secara bersungguh-sungguh.
Masa inilah untuk kita membela negara dengan menangkis apa jua ancaman, seperti Covid-19 ini yang boleh menjejaskan kemajuan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!