Nasi ganja bossku
IPOH - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikerumuni orang ramai ketika menikmati makan tengah hari di Restoran Perniagaan Nasi Kandar Ayam Merah atau lebih dikenali ‘nasi ganja’, hari ini.
Beliau yang kini popular dengan panggilan bossku tiba di restoran berkenaan kira-kira jam 1.20 petang dan menghabiskan masa selama satu jam menikmati hidangan antaranya ayam masak merah, sotong kari, telur masin, daging rendang dan ikan bawal kari.
Orang ramai yang datang ke restoran berkenaan mengambil peluang bergambar dan melaungkan ‘bossku’ berulang kali sambil disambut ketawa dan ucapan terima kasih daripada Najib.
Ketika ditemui, beliau berkata, nasi ganja adalah hidangan wajib untuknya setiap kali berkunjung ke Ipoh, namun sebelum ini beliau hanya membungkus makanan itu tanpa berpeluang makan di kedai.
“Saya biasa makan nasi ini sebab kenal pemiliknya dah lama, cuma ini kali pertama saya berpeluang dapat makan di restoran.
“Ternyata kalau dapat pergi ke kedainya lagi baik, rasa pun lebih sedap dan pentingnya kita dapat rasai suasana bersama rakyat,” katanya.
Beliau turut memuji keaslian campuran kuah terutama kari yang berbeza berbanding restoran mamak lain.
“Kuah itu rahsianya, orang tak tahu apa formulanya, tetapi sedap sangat,” katanya yang memaklumkan kali terakhir makan nasi ganja sebelum PRU14 lalu.
Nasi ganja yang beroperasi di Restoran Yong Suan, Jalan Yang Kalsom sejak 1957 ini adalah menu wajib dinikmati pelancong yang datang ke Perak.
Sebelum itu, Najib sempat meluangkan masa hampir dua jam memandu kenderaan 4x4 menyusuri laluan berbahaya di Teratak Riverview , Hulu Bernam Tanjung Malim.
"Satu pengalaman baru dan menyeronokkan kerana dapat memandu di laluan mencabar sebegitu. Ia satu bentuk rekreasi yang baik kerana kita dapat mengapresiasi alam sekitar,
“Kadang-kadang kita terlepas pandang tempat-tempat semulajadi dan indah yang terdapat di negara ini, jadi saya sangat menggalakkan rakyat terlibat dalam aktiviti seperti ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!