Pak Ngah gunting RM2
KOTA BHARU - Siapa sangka, sebuah rumah sederhana besar yang terletak di lorong Kampung Batu Tinggi Kok Lanas di sini menjadi kunjungan seluruh masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan gunting rambut.
Bukan hanya masyarakat setempat dan luar negeri, malah pelanggannya juga dari serata dunia, terutamanya mereka yang sudah biasa dengan sentuhan tangannya.
Pak Ngah, atau nama sebenarnya Che Daud Samad, 81 tahun adalah orang yang dicari apabila sampai di kampung tersebut.
Bukan kerana fizikalnya, namun bakat dan kebolehannya menggunting rambut sejak 1970an menjadi buruan pelanggan, tambahan pula harga yang disediakan cukup berpatutan.
Sebelum ini, RM1 dikenakan untuk setiap guntingan, tapi sejak tahun 2000, harga dinaikkan kepada RM2, tanpa mengira gaya dan umur pelanggan.
"Saya mudoh jah, RM2 jah belako. Kito pun buke pandai sangat, buat sekadar mampu jah. Kedai kito pun biaso jah, tak dok (tiada) penghawa dingin. Paka mudoh-mudoh gini jah," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Ketika ditanya mengenai pengalamannya, Pak Ngah memberitahu, dia mula menceburi bidang gunting rambut sejak berumur belasan tahun dan telah berhijrah ke serata dunia untuk mencari sesuap nasi.
Katanya, dia pernah menumpang kapal dagang untuk ke luar negara terutamanya Jepun, Indonesia, Filipina, Burma, India, Pakistan, China dan banyak lagi.
"Masa itu saya tumpang kapal dagang, percuma jah, tak payah bayar masa zaman itu. Berhijrah dari satu tempat ke satu tempat. Saya tak bawa gunting dengan penyikat rambut.
"Saya cuma beritahu mereka yang pak ngah boleh gunting rambut. Pelanggan akan sediakan sendiri gunting dan sikat. Tak kira ke mana pun pak ngah pergi, itulah caranya. Memang pak ngah tak bawa apa-apa. Bawa kemahiran saja.
"Harga dikenakan pun sama saja, tiada beza pada waktu itu. Tapi cukuplah untuk sara anak dan isteri," katanya.
Bapa kepada 11 cahaya mata yang kehilangan isteri sejak tiga tahun lalu itu juga memberitahu, dia tidak pernah tutup kedai memandangkan itulah rutin hariannya bermula 10 pagi hingga 7 malam.
Malah katanya, menjelang musim perayaan, rata-rata pelanggan yang datang kebanyakannya pelanggan tetap yang berada di luar negeri.
Mengenakan harga yang murah, Pak Ngah memberitahu, apa yang dilakukan adalah dengan niat yang ikhlas, bukan untuk mengejar untung semata-mata.
"Kita kijo sambil sedekah. Insya-ALLAH, cukup dah rezeki ALLAH bagi untuk bubuh (isi) minyak motor, makan minum. Alhamdulillah dah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!