Maut dirempuh ketika pulang dari masjid
KUALA NERUS - Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika pulang dari masjid berhampiran kediamannya di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa Mohamad Ammar Lukman Roslan, 23, yang baharu selesai menunaikan solat Asar di masjid itu maut di tempat kejadian.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit itu sedang berjalan di tepi sebelah kiri jalan dari arah Lembah Bidong menghala ke kediamannya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.
Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita berusia 60 tahun dikatakan hilang kawalan semasa melalui selekoh di lokasi berkenaan.
Ekoran itu, kereta yang dinaiki wanita berkenaan bersama dua lagi ahli keluarganya telah terbabas ke sebelah kiri jalan dan merempuh mangsa.
Mangsa dipercayai tercampak dan kereta itu turut melanggar papan tanda serta tiang elektrik yang berada di sebelah kiri jalan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.
Pemandu serta dua penumpang kereta itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!