PBT jangan manjakan rakyat Malaysia: Zuraida

Zuraida menyampaikan kad Mesra Petronas kepada orang awam sebagai menggalakkan kempen kitar semula dan kumpul mata ganjaran.
Zuraida menyampaikan kad Mesra Petronas kepada orang awam sebagai menggalakkan kempen kitar semula dan kumpul mata ganjaran.
A
A
A

AMPANG - Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa tidak 'memanjakan' rakyat Malaysia dengan menambah bilangan tong sampah sedia ada yang diandaikan sudah memadai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu boleh mendidik masyarakat untuk pengurusan pembuangan sampah yang betul.

Menurutnya, beliau mahu membudayakan sikap rakyat dengan 'bukan tong sampah cari orang, orang yang cari tong sampah'

"Di negara maju sampah kita simpan dalam poket atau beg tangan sehingga jumpa tong sampah. Itu baru betul.

"PBT jangan manjakan rakyat dengan hantar tong sampah kepada mereka, biar mereka cari tong sampah," katanya di majlis pelancaran 3R on Wheels dan kad mesra di Stesen Petronas di Jalan Kolam Ayer Ampang, hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, kurang kesedaran punca hampir 60 peratus rakyat Malaysia tidak membuang sampah dalam tong sampah.

"Cabaran kita sekarang bukan mendidik murid sekolah saja tapi kepada mereka yang berumur 40 hingga 60 tahun yang belum ada tabiat baik untuk buang sampah dalam tong sampah.

"Saya ingat tabiat pengurusan sampah yang betul belum jadi darah daging kita hingga tidak tahu mengurus sampah termasuk di rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam program tersebut, Alam Flora dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad (Petronas) tawar pemberian mata ganjaran kepada pemegang kad Mesra Petronas yang menjual barangan kitar semula di lori 3R on Wheels.

Menawarkan mata ganjaran antara satu hingga tiga mata mengikut kategori membolehkan kutipan mata ganjaran itu ditebus dimana-mana Kiosk Petronas.

Turut hadir di program adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan serta Pengarah Urusan Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin SyedbMohamed Tahir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!