Pindaan Perlembagaan Bersatu beri suntikan baharu kepada PN

Saifuddin (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus ketika melancarkan dron canggih Oryctes di Cyberjaya hari ini.
Saifuddin (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus ketika melancarkan dron canggih Oryctes di Cyberjaya hari ini.
A
A
A

CYBERJAYA - Kesediaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk meminda Perlembagaannya bagi membuka keahlian kepada kaum bukan bumiputera dalam parti itu akan menyuntik kekuatan baharu kepada Perikatan Nasional (PN).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara tersebut dapat mewujudkan kepelbagaian dalam kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sekarang ada parti yang bersifat dominan satu kaum (dalam PN).

"Kalau Bersatu jadi membuka keanggotaan kepada bukan bumiputera, maka ada pula parti yang ada campuran keanggotaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan dan menyaksikan demonstrasi secara langsung peranti dron Oryctes di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu sedia pinda Perlembagaan benarkan penyertaan kaum lain

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan segelintir pihak yang menganggap Bersatu tidak ubah seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2.0 ekoran kesediaan untuk membuka penyertaan kepada kaum lain.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, isu yang didakwa itu tidak timbul kerana Bersatu bercadang melakukan pindaan berdasarkan perkembangan semasa parti itu.

Menurutnya, ia bersesuaian dengan kemasukan kumpulan pemimpin yang keluar daripada PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali termasuk beliau sebagai ahli Bersatu yang baharu.

Artikel Berkaitan:

"Pada saya ini (pindaan Perlembagaan Bersatu) adalah suatu perkara yang mustahak kerana tentu kita harus meraikan anggota-anggota kumpulan kami yang keluar daripada PKR termasuk mereka yang bukan bumiputera.

"Ini kerana apabila kami daripada kumpulan Datuk Seri Azmin ingin menyertai Bersatu, dalam kalangan kami, ada yang bukan bumiputera. Takkanlah kita nak biarkan mereka bersendirian," katanya.

Berikutan itu, Saifuddin berkata, kumpulannya sangat berterima kasih apabila Muhyiddin mengumumkan bahawa sudah ada jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim yang akan membentangkan cadangan itu untuk dipersetujui bersama di peringkat MPT.

Sabtu lalu, Muhyiddin ketika berucap pada Kongres Negara 'Bersatu untuk Malaysia' berkata, Bersatu bersedia meminda Perlembagaan parti bagi membolehkan penyertaan kaum lain dalam parti itu termasuk untuk memegang jawatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!