Pelan pemulihan TH punca proses audit ambil masa

Tabung Haji - Foto Malaysian Reserve
Tabung Haji - Foto Malaysian Reserve
A
A
A

SHAH ALAM - Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji oleh kerajaan terdahulu yang kompleks dan tidak pernah dilakukan sebelum ini menjadi punca kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tabung Haji (TH) 2018.

TH dalam satu kenyataan berkata, situasi itu menyebabkan proses pengauditan memakan masa yang agak lama sehingga menyebabkan kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH.

Katanya, laporan Penyata Kewangan (TH) 2018 telah dihantar kepada Jabatan Audit Negara pada April 2019 namun hanya dapat dibentangkan di Parlimen hari ini.

"Sijil Audit Bersih daripada Ketua Audit Negara hanya dikeluarkan pada 21 November 2019. Pada masa sama, TH perlu melalui proses biasa dan mendapatkan ulasan daripada agensi kerajaan berkaitan di mana ulasan-ulasan ini telah diperoleh pada 19 Disember 2019.

"Ia kemudiannya diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada ketika itu untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri, seterusnya di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri," katanya hari ini.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, laporan kewangan itu tidak dapat dibentangkan pada tahun lalu berikutan Sidang Parlimen berakhir pada 19 Disember 2019.

"Perancangan asal untuk membentangkannya di Parlimen semasa Sidang Parlimen pada Mac 2020. Namun ia juga tidak dapat dilakukan kerana perubahan kerajaan dan penangguhan sidang Dewan Rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Oleh itu, laporan ini hanya dapat dibentangkan di Parlimen setelah diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibentangkan pada 14 Ogos lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, bagi Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2019, proses pengauditan masih lagi berjalan.

"Ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri setelah pengauditan selesai sebelum dikemukakan ke Parlimen," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!